PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Malaysia Dijangka Diniaga Dalam Julat Terhad Minggu Depan

10/08/2024 10:20 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam julat terhad minggu depan, dengan potensi turun naik yang tercetus susulan gangguan bekalan disebabkan perubahan cuaca, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata  wilayah Utara negara pengeluar getah mula mengalami kesan akibat La Nina, dan amaran kemungkinan berlakunya banjir kilat dan tanah runtuh telah dikeluarkan.

"Sekiranya hujan lebat berterusan pada minggu-minggu akan datang, ia akan menjejaskan pengeluaran getah, dan hasil lateks yang rendah akan menyebabkan gangguan bekalan getah," katanya kepada Bernama.

Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran hujan lebat hingga sangat lebat, hujan petir dan banjir kilat sehingga 13 Ogos.

Amaran ini merangkumi pelbagai wilayah di Thailand, termasuk kawasan utama penanaman getah.

Sementara itu, Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjangkakan pasaran getah berkurangan sedikit minggu depan di tengah-tengah isyarat bercampur-campur daripada pasaran hadapan getah serantau.

Dalam satu kenyataan, pertubuhan itu berkata walaupun bekalan getah asli yang terhad telah menyokong harga, kebimbangan mengenai potensi kemelesetan di Amerika Syarikat dan ringgit yang lebih kukuh telah memberikan tekanan ke bawah.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah tempatan diniagakan kebanyakannya rendah di tengah-tengah kebimbangan permintaan dan niaga hadapan serantau yang lebih lemah, walaupun ia menunjukkan sedikit peningkatan berikutan pemulihan harga minyak mentah dan ringgit yang lebih lemah.

Pada asas Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun setengah sen kepada 775 sen sekilogram daripada 775.5 sen sekilogram minggu lepas.

Sementara itu, lateks pukal susut tiga sen kepada 630.5 sen sekilogram daripada 633.5 sen sebelumnya.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk fizikal SMR 20 berada pada 778.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 630.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan