PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

10/08/2024 10:25 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam dagangan jajaran kecil minggu depan, menjejaki prestasi niaga hadapan COMEX gold, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran emas meningkat semula selepas penjualan baru-baru ini berikutan pengurangan risiko global secara menyeluruh apabila pelabur berebut-rebut untuk menjual secara tunai.

“Susulan keadaan panik semakin reda ketika ini, emas berkemungkinan bergerak seiring dengan dolar US, ia akan sangat bergantung kepada bagaimana data Amerika Syarikat (AS) terbentuk dan sejauh mana penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mempengaruhi pasaran.

“Kami menjangkakan harga emas berada dalam julat antara US$2,410 setiap auns troy dan US$2,450 setiap auns troy,” katanya kepada Bernama.

Pada asas mingguan, bulan semerta Ogos 2024 merosot kepada US$2,427.40 setiap auns troy daripada US$2,474.50 setiap auns troy pada minggu sebelumnya manakala September 2024, Okober 2024, November 2024, Disember 2024 dan Februari 2025 semuanya turun kepada US$2,431.10 setiap auns troy daripada US$2,474.50 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan niaga hadapan emas di pasaran tempatan meningkat kepada 162 lot daripada 150 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 56 kontrak daripada 77 kontrak pada minggu terdahulu.

Harga emas fizikal berada pada US$2,411.45 setiap auns troy seperti yang diterbitkan oleh  London Bullion Market Association pada 8 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan