PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Dengan Kecenderungan Menaik Minggu Depan

10/08/2024 10:14 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan cenderung untuk menaik minggu hadapan kerana pelabur dipercayai bersedia untuk membeli saham-saham yang melepasi paras rintangan.

Ini bertujuan bagi menambah pegangan mereka atau menggunakan pendekatan yang boleh memanfaatkan kadar keuntungan maksimum, kata seorang peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah mengalami empat hari yang positif, menunjukkan momentum yang boleh mendorong indeks ke arah paras rintangan seterusnya pada 1,610.

"Jika berjaya melepasi paras ini, ia mungkin membawa kepada kenaikan seterusnya, manakala paras sokongan segera berada pada 1,582," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan indeks diniagakan dalam julat 1,590-1,610 pada sepanjang minggu hadapan.

Selepas minggu yang bergelora, Thong berkata dana global mungkin akan melihat pasaran yang lebih bernilai seperti Hong Kong dan Malaysia.

Persekitaran perniagaan yang semakin meningkat di China menarik lebih banyak syarikat multinasional, seperti yang ditunjukkan oleh bilangan syarikat multinasional yang berhasrat untuk meningkatkan kehadiran mereka di ekonomi kedua terbesar di dunia, tambahnya.

"Sementara itu, lawatan terbaru Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia bertujuan untuk mempertingkatkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, memastikan manfaat dan kejayaan yang dikongsi bersama," katanya.

Pada minggu dagangan yang baru berakhir, pasaran mengalami turun naik yang ketara apabila kejatuhan besar di pasaran saham serantau menyebabkan Bursa Malaysia jatuh pada Isnin, yang disebabkan laporan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) pada Julai yang mengecewakan.

Laporan itu memberi kesan besar kepada Indeks Nikkei 225 Jepun, yang menyaksikan kejatuhan mendadak sebanyak 4,451.28 mata atau 12.40 peratus, melebihi penurunan yang dicatatkan pada 1987. 

Pencetus bagi kejatuhan itu ialah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan ekonomi AS akan meleset berikutan laporan pekerjaan pada Julai yang mengecewakan, yang mana kadar pengangguran meningkat kepada 4.3 peratus, paras tertinggi sejak Oktober 2021.

Sementara itu, pekerjaan bukan ladang di AS hanya meningkat 114,000 bulan lalu, di bawah angka yang disemak turun sebanyak 179,000 pada Jun dan anggaran Dow Jones sebanyak 185,000 pekerjaan.

Dalam keadaan kejatuhan pasaran saham global, penjualan singkat 19 syarikat di bursa di bawah Jualan Singkat Intra Hari (IDSS) telah digantung sepanjang hari pada Isnin kerana harga terakhir sekuriti diluluskan turun melebihi 15 peratus/15 sen daripada harga rujukan.

Syarikat-syarikat yang terlibat termasuk SP Setia, Mah Sing dan Sime Darby Property.

Bagaimanapun, Bursa Malaysia pulih dengan pantas pada Selasa, didorong oleh aktiviti pembelian pada harga rendah memandangkan asas-ases ekonomi Malaysia masih kekal kukuh.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 15.0 mata kepada 1,596.05 daripada 1,611.05 minggu lepas.

Di papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas jatuh 128.33 mata kepada 12,175.17, Indeks FBMT 100 merosot 112.36 mata kepada 11,807.59, Indeks FBM Emas Syariah turun 119.66 mata kepada 12,328.49, Indeks FBM 70 susut 173.81 mata kepada 17,728.99 dan Indeks FBM ACE merosot 92.75 mata kepada 5,377.66.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 177.76 mata kepada 18,053.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 4.21 mata kepada 181.29, Indeks Tenaga merosot 7.51 mata kepada 921.64, dan Indeks Perladangan jatuh 69.69 mata kepada 7,073.92.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, jumlah dagangan meningkat kepada 29.29 bilion unit bernilai RM23.34 bilion berbanding 21.51 bilion unit bernilai RM16.31 bilion pada minggu sebelumnya.

 Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 18.54 bilion saham bernilai RM21.18 bilion berbanding 12.65 bilion saham bernilai RM14.54 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 6.61 bilion unit bernilai RM826.77 juta berbanding 5.16 bilion unit bernilai RM650.71 juta pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 4.11 bilion saham bernilai RM1.32 bilion daripada 3.65 bilion saham bernilai RM1.11 bilion sebelum ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan