PASARAN > BERITA

Sentimen Positif Dorong Ringgit Mengukuh Berbanding Dolar AS Pada Sesi Pembukaan

12/08/2024 09:50 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Ringgit terus dibuka pada paras yang lebih baik pagi ini, didorong oleh sentimen yang berdaya tahan menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 pada minggu ini, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik 30 peratusan dalam mata (pip) kepada 4.4170/4290 berbanding dolar AS daripada 4.4200/4280 pada Jumaat lepas. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid percaya data suku kedua yang akan diumumkan pada Jumaat ini tidak akan jauh daripada anggaran awal pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) pada Julai akan dikeluarkan pada Rabu, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pada Selasa, dengan trend disinflasi akan kekal,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, KDNK Jepun pada suku kedua 2024 akan diumumkan pada Khamis dengan anggaran konsensus menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.1 peratus selepas ekonomi menguncup 1.8 peratus pada suku pertama 2024.

“Oleh itu, pendirian dasar monetari Bank of Japan juga akan menjadi tumpuan berikutan peniaga menunggu petunjuk untuk melepaskan dagangan bawaan yen,” katanya.

Justeru, katanya AS/MYR akan berada hampir kepada paras sokongan segera pada RM4.40 hari ini.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.8198/8329 daripada 4.8253/8340 dan naik berbanding pound kepada 5.6303/6456 daripada 5.6373/6475 pada Jumaat lepas serta merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0035/0121 daripada 3.0019/0075 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3348/3442 daripada 3.3381/3444 pada Jumaat lepas dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 277.3/278.2 daripada 277.5/278.2.

Mata wang tempatan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.5280/5795 daripada 12.5234/5514 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.74 daripada 7.71/7.73. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan