PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Bercampur-campur Pada Tengah Hari

13/08/2024 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia diniagakan bercampur-campur pada tengah hari, dengan minat belian terhadap saham wajaran tinggi diimbangi oleh penjualan meluas dalam saham-saham bermodal kecil.

Pada 12:30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.003 peratus, atau 0.05 mata kepada 1,606.71, naik sedikit daripada 1,606.66 ketika ditutup Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.82 mata lebih rendah kepada 1,605.84, berlegar dalam julat 1,598.30 dan 1,608.17 sepanjang sesi itu.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 623 berbanding 276, dengan 440 kaunter tidak berubah, 1,107 tidak diniagakan dan sembilan digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.25 bilion unit bernilai RM1.29 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata minat belian telah kembali, tetapi peniaga dijangka berhati-hati memantau data ekonomi penting yang akan datang.

"Secara teknikalnya, paras rintangan dijangkakan sekitar 1,621 hingga 1,626, manakala paras sokongan pada 1,586 hingga 1,591," katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank kekal tidak berubah pada RM10.20, Public Bank turun 2.0 sen kepada RM4.24, Tenaga susut 4.0 sen kepada RM13.90, CIMB naik 2.0 sen kepada RM7.38, IHH Healthcare meningkat 3.0 sen kepada RM6.28 dan CelcomDigi menokok 1.0 sen kepada RM3.78.

Bagi saham aktif, Cape EMS susut 4.0 sen kepada 46.5 sen, Sik Cheong yang baharu disenaraikan naik 10.5 sen kepada 37.5 sen, manakala Barakah dan Velesto masing-masing tidak berubah pada 7.5 sen dan 21 sen, manakala Top Glove turun 2.0 sen kepada 91.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas jatuh 21.37 mata kepada 12,233.85, Indeks FBMT 100 turun 15.51 mata kepada 11,869, Indeks FBM 70 susut 81.59 mata kepada 17,758.15, Indeks FBM Emas Syariah jatuh 34.65 mata kepada 12,367.69 dan Indeks FBM ACE menyusut 36.03 mata kepada 5,411.25.

Bagi prestasi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 11.15 mata kepada 18,160.34, manakala Indeks Tenaga memulih 0.07 mata kepada 926.48.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.40 mata kepada 181.12, Indeks Teknologi susut 0.58 mata kepada 71.13 dan Indeks Perladangan meningkat 9.16 mata kepada 7,122.71.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan