PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Dalam Keadaan Pelabur Berhati-hati Menjelang Data Inflasi AS

14/08/2024 07:25 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Rabu, sejajar dengan prestasi positif di seluruh rantau ini namun, pelabur masih enggan mengambil risiko sebelum data inflasi Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan lewat malam ini, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.17 peratus atau 2.83 mata kepada 1,612.35 daripada 1,609.52 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu, yang dibuka 2.27 mata lebih tinggi kepada 1,611.79, berlegar di antara 1,606.49 dengan 1,613.63 sepanjang dagangan hari ini.

Lingkungan pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 553 berbanding 442, manakala 474 kaunter tidak berubah, 1,019 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.46 bilion unit bernilai RM2.497 bilion daripada 3.41 bilion unit bernilai RM2.499 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kebanyakan indeks utama di rantau ini ditutup lebih tinggi.

Beliau berkata ini susulan kenaikan di Wall Street dalam tempoh semalaman apabila inflasi di peringkat pengeluar yang dilaporkan rendah telah mendorong jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin mula mengurangkan kadar faedah pada September, 

Minggu ini, pelabur turut memberi tumpuan kepada data pengeluaran perindustrian dan jualan runcit China, serta laporan prestasi kewangan oleh syarikat utama China seperti Alibaba, Tencent, JD.com dan CK Hutchinson.

Di peringkat domestik, pelabur bersikap optimis namun berhati-hati selain memantau rapat data inflasi AS dan data ekonomi China untuk menentukan hala tuju pasaran tempatan, yang banyak dipengaruhi oleh kuasa besar ekonomi global.

“Buat masa ini, kami menjangkakan penanda aras itu kekal dalam keadaan tidak banyak berubah sementara menunggu indeks itu melepasi paras 1,620 memandangkan jumlah dagangan harian susut kepada bawah lima bilion.

“Justeru, kami menjangkakan FBM KLCI mengalami turun naik dalam julat 1,600 hingga 1,620 sepanjang minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Petronas Dagangan meningkat RM1.14 kepada RM19.48, Press Metal naik 11.0 sen kepada RM5.03, YTL Corporation menokok 6.0 sen kepada RM3.41 manakala YTL Power International dan Sime Darby masing-masing menambah 7.0 sen kepada RM4.43 dan RM2.62.

Bagi kaunter yang paling aktif, TWL dan MYEG masing-masing tidak berubah pada 3.0 sen dan 90.5 sen, Cape EMS naik setengah sen kepada 46 sen, dan Hiap Teck Venture turun 1.5 sen kepada 35.5 sen.

Petronas Dagangan merupakan yang paling untung hari ini, diikuti F&N yang melonjak 40 sen kepada RM29.50, United Plantations meningkat 30 sen kepada RM25.70 dan KLK menokok 26 sen kepada RM21.04.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 44.77 mata kepada 12,289.52, Indeks FBMT 100 meningkat 45.14 mata kepada 11,929.24, Indeks FBM ACE naik 2.56 mata kepada 5,391.29, Indeks FBM 70 melonjak 156.98 mata kepada 17,915.57 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 56.46 mata kepada 12,429.52.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 9.76 mata kepada 933.64, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.51 mata kepada 183.03, dan Indeks Teknologi naik 0.14 mata kepada 71.33.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 10.61 mata kepada 18,223.25 dan Indeks Perladangan menokok 32.00 mata kepada 7,157.88.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.81 bilion unit bernilai RM2.17 bilion daripada 1.77 bilion unit bernilai RM2.14 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.14 bilion unit bernilai RM154.81 juta daripada 1.06 bilion unit bernilai RM146.26 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE mengecil kepada 506.22 juta saham bernilai RM172.60 juta daripada 570.90 juta saham bernilai RM208.29 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 292.33 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (428.76 juta), pembinaan (134.30 juta), teknologi (189.60 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (79.64 juta), hartanah (347.93 juta), perladangan (22.98 juta), REIT (11.44 juta), dana tertutup (16,100), tenaga (92.30 juta), penjagaan kesihatan (60.98 juta), telekomunikasi dan media (36.67 juta), pengangkutan dan logistik (57.88 juta), utiliti (64.25 juta) dan amanah perniagaan (204.700).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan