PASARAN > BERITA

Ringgit ditutup pada paras paling tinggi dalam tempoh 16 bulan

14/08/2024 08:31 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Ringgit mengakhiri dagangan Rabu pada sekitar 4.41 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), harga penutupan terbaik dalam tempoh 16 bulan, apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) dilihat berada di landasan untuk mengurangkan kadar faedah pada September.

Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.4170/4235 berbanding dolar AS daripada 4.4440/4505 ketika ditutup pada Selasa.

Kadar penutupan tertinggi bagi mata wang tempatan sebelum ini ialah 4.4160/4210 yang direkodkan pada 11 April, 2023.

Ringgit mencapai kadar itu hari ini apabila mencecah paras tertinggi harian 4.4160 pada pukul 9.24 pagi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS terkini adalah lebih rendah berbanding jangkaan iaitu 2.2 peratus pada Julai berbanding anggaran konsensus 2.3 peratus.

Beliau berkata angka itu menunjukkan penurunan daripada 2.7 peratus yang dicatatkan pada Jun, dan mengesahkan aliran disinflasi di AS bergerak dengan baik.

“Data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan lewat malam ini sewajarnya menjejaki trajektori yang sama dan mengukuhkan jangkaan bagi pelonggaran monetari.

“Justeru, prospek perbezaan kadar faedah yang lebih rendah antara Kadar Dana Persekutuan dan Kadar Dasar Semalaman (Malaysia) akan meningkatkan daya tarikan aset ringgit dari sudut pandangan pelabur asing,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata buat masa ini, paras sokongan semasa dikenal pasti pada RM4.4005.

“Sekiranya ia melepasi paras ini, paras sokongan seterusnya adalah pada 4.3000,” katanya.

Ringgit diniagakan lebih tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama sebelum dagangan ditutup.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0027/0073 daripada 3.0053/0099 ketika ditutup pada Selasa, dan lebih stabil berbanding pound British kepada 5.6754/6838 daripada 5.6839/6922.

Bagaimanapun ringgit turun berbanding euro kepada 4.8684/8756 daripada 4.8520/8591.

Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean.

Mata wang domestik lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.3582/3634 daripada 3.3590/3642 semalam dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.75/7.77  daripada 7.80/7.81.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding rupiah Indonesia kepada 281.7/282.3 daripada 280.6/281.1 pada Selasa dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.6399/6668 daripada 12.6351/6578.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan