PASARAN > BERITA

Ringgit Kekal Dibuka Tinggi, Menjelang Data KDNK Suku Kedua Malaysia Esok

15/08/2024 09:18 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Ringgit kekal dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Khamis, menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 Malaysia esok, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan yang semakin meningkat terhadap pengurangan kadar faedah AS juga menyokong ringgit.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat sedikit kepada 4.4150/4250 berbanding dolar AS daripada 4.4170/4235 ketika ditutup pada Rabu.

Beliau berkata trend disinflasi kekal jelas di AS, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Julai menunjukkan penurunan kepada 2.9 peratus, berbanding jangkaan konsensus pada 3.0 peratus.

Selain itu, IHP teras turun kepada 3.2 peratus daripada 3.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Justeru, keadaan sudah selamat untuk Rizab Persekutuan AS memulakan langkah pelonggaran monetarinya bulan depan.

“Peralihan penekanan daripada usaha mengekang inflasi kepada mengekalkan pertumbuhan akan menjadi naratif utama selepas ini,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata berasaskan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah AS yang semakin meningkat, ringgit berkemungkinan meningkat lagi berbanding dolar AS, dan dijangka menghampiri paras sokongan serta-merta pada RM4.4005 hari ini.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9969/3.0041 daripada 3.0027/3.0073 ketika ditutup semalam, dan lebih stabil berbanding pound British kepada 5.6618/5.6746 daripada 5.6754/5.6838.

Unit tempatan juga naik berbanding euro kepada 4.8618/4.8728 daripada 4.8684/4.8756.

Namun, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean.

Mata wang domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3526/3.3604 daripada 3.3582/3.3634 pada penutupan Rabu, dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.5744/12.6097 daripada 12.6351/12.6578.

Bagaimanapun, ringgit tidak banyak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 281.6/282.4 daripada 281.7/282.3 pada Rabu, dan kekal mendatar berbanding peso Filipina pada 7.75/7.77.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan