PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Terus Catat Aliran Meningkat Pada Tengah Hari

19/08/2024 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkatnya pada tengah hari ini berikutan sentimen pelabur yang positif didorong oleh angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku kedua dan perdagangan dari Januari hingga Julai yang kukuh.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.10 peratus atau 17.83 mata kepada 1,641.73 daripada 1,623.90 pada Jumaat lepas. 

Indeks dibuka tinggi 1.24 mata kepada 1,625.14 dan bergerak antara 1,624.58 dan 1,644.08 pada sepanjang sesi pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 548 berbanding 449, dengan 435 kaunter tidak berubah, 1,063 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.29 bilion unit bernilai RM1.79 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, petunjuk pasaran dijangka meneruskan momentum meningkatnya berikutan data KDNK Malaysia yang diumumkan kukuh minggu lepas, terutamanya dengan sentimen yang lebih baik pada separuh kedua 2024.

“Selain itu, kami menjangka sektor pengguna dan perkapalan akan mendapat manfaat daripada ringgit yang kukuh.

“Berdasarkan persekitaran positif di Amerika Syarikat (AS), kami menjangka minat belian wujud dalam sektor teknologi dan saham perbankan tempatan, yang meningkat pada Jumaat lepas,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, katanya pihaknya kekal optimis mengenai sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti menjelang musim pelaporan pendapatan.

Sementara itu, perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Julai 2024 meningkat 9.8 peratus tahun ke tahun berjumlah RM1.652 trilion, nilai tertinggi dicatatkan untuk tempoh itu, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.

Eksport meningkat 5.1 peratus kepada RM862.23 bilion dan import sebanyak 15.5 peratus kepada RM789.71 bilion dalam tempoh tujuh bulan menyebabkan lebihan dagangan sebanyak RM72.52 bilion, katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 22.0 sen kepada RM10.48, CIMB Group naik 21.0 sen kepada RM7.87, Tenaga Nasional menambah 6.0 sen kepada RM13.92 dan Public Bank menokok 20.0 sen kepada RM4.49.

IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.30.

Dalam kalangan saham aktif, Top Glove meningkat 6.0 sen kepada RM1.01, My E.G. Services naik 1.5 sen kepada 93.0 sen, Velocity Capital dan TWL Holdings, masing-masing menambah setengah sen kepada 6.5 sen dan 3.0 sen manakala Cape EMS merosot setengah sen kepada 41.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 127.24 mata kepada 12,462.37, Indeks FBMT 100 naik 129.91 mata kepada 12,106.00, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 37.02 mata kepada 12,439.06 dan Indeks FBM 70 menambah 187.57 mata kepada 18,031.22.

Sementara itu, Indeks FBM ACE naik 7.54 mata kepada 5,406.52.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 505.51 mata kepada 18,925.23, Indeks Tenaga menambah 0.28 mata kepada 952.38 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.52 mata kepada 183.27 dan Indeks Perladangan susut 23.73 mata kepada 7,160.27.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan