PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Prospek Pengeluaran Rendah

26/08/2024 09:32 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin berikutan prospek kadar pengeluaran yang lebih rendah di negara ini, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak mentah yang lebih kukuh turut mendorong sentimen pasaran yang positif.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM3,850 satu tan dan paras rintangan pada RM4,000 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata, kenaikan harga minyak mentah berikutan pergolakan baharu di Timur Tengah dan isyarat jelas mengenai penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat pada September telah melonjakkan pembelian minyak sayuran.

Menurut laporan, niaga hadapan minyak kacang soya ditutup tinggi pada Isnin semasa dagangan waktu siang di Bursa Komoditi Dalian memandangkan kontrak minyak kacang soya paling aktif untuk penghantaran Januari 2025 meningkat 41 yuan (kira-kira US$5.76) untuk ditutup kepada 4,260 yuan setiap tan.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, hasrat Indonesia yang dijangka melaksanakan mandat biodiesel B50 pada 2025 turut mempengaruhi sentimen pasaran.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta September 2024 meningkat RM45 kepada RM4,021 satu tan, Oktober 2024 naik RM50 kepada RM3,966 satu tan, dan kontrak November 2024 menokok RM57 kepada RM3,924 satu tan.

Kontrak Disember 2024 naik RM55 kepada RM3,906 satu tan, kontrak Januari 2025 melonjak RM52 kepada RM3,899 satu tan, dan kontrak Februari 2025 menokok RM58 ke RM3,896 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 96,898 lot daripada 69,609 lot semasa ditutup pada Jumaat manakala kepentingan terbuka naik kepada 226,995 kontrak daripada 223,891 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan menokok RM40 kepada RM4,040 setiap tan

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan