PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Pengambilan Untung

27/08/2024 09:38 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri kenaikan berturut-turutnya selama empat hari untuk ditutup rendah pada Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung, kata seorang peniaga.

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata, dengan pasaran luaran yang terus mengukuh, pengambilan untung telah mengurangkan momentum belian.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak dan minyak kacang soya yang lemah turut menjejaskan sentimen pasaran. 

“Kami melihat paras sokongan pada RM3,850 setan metrik dan paras rintangan pada RM4,000 setan metrik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Hap Seng Consolidated Bhd (HSCB) menjangka harga MSM berada di bawah tekanan terutamanya semasa musim penanaman yang tinggi. 

HSCB merupakan konglomerat dengan enam perniagaan teras iaitu perladangan, pelaburan dan pembangunan hartanah, pembiayaan kredit, automotif, perdagangan baja dan bahan binaan.

Syarikat itu berkata pengeluar minyak sawit terus menghadapi tekanan inflasi dan kos pengeluaran yang tinggi, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2024 turun RM16 kepada RM4,005 setan metrik, Oktober 2024 susut RM8 kepada RM3,958 setan metrik dan November 2024 berkurangan RM1 kepada RM3,923 setan metrik.

Kontrak Disember 2024 susut RM6 kepada RM3,900 setan metrik, Januari 2025 turun RM10 kepada RM3,889 setan metrik dan Februari 2025 berkurangan RM14 kepada RM3,882 setan metrik. 

Jumlah dagangan menyusut kepada 87,640 lot daripada paras penutup 96,898 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka turun kepada 225,283 kontrak daripada 226,995 kontrak sebelumnya. 

Harga MSM fizikal bagi September Selatan meningkat RM10 kepada RM4,050 setan metrik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan