PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Disokong Lonjakan Saham Kewangan

28/08/2024 11:21 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi melepasi paras 1,660 dengan indeks penanda aras memperoleh 0.79 peratus, paras tertinggi dalam tempoh 44 bulan disokong oleh belian berterusan di kaunter perkhidmatan kewangan.

Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 13.17 mata kepada 1,665.46 daripada 1,652.29 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks FBM KLCI tertinggi sebelum ini dicatatkan pada 14 Disember 2020, ia ditutup pada 1,662.74.

Indeks itu dibuka 5.48 mata lebih tinggi kepada 1,657.77.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 183 berbanding 178, manakala 217 kaunter tidak berubah, 1,938 kaunter tidak diniagakan dan 42 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 136.53 juta unit bernilai RM121.54 juta.

Saham di pasaran Wall Street ditutup tinggi dalam persekitaran ketidaktentuan kerana pedagang menunggu pengumuman pendapatan Nvidia yang akan dikeluarkan lewat hari ini.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen tempatan semakin baik dengan peningkatan pendapatan korporat, ekonomi kukuh, lebih banyak kontrak pembinaan terutamanya di pusat data dan pengukuhan nilai ringgit.

“Semua faktor ini mendorong pasaran untuk diniagakan lebih tinggi. Kami percaya pengumpulan saham mewah akan berterusan walaupun sentimen pasaran lebih luas mungkin agak suram kerana kekurangan penyertaan runcit,” katanya kepada Bernama.

Beliau menganggap kemasukan tawaran awam permulaan (IPO) baru-baru ini mencecah RM2 bilion diperoleh untuk separuh pertama 2024 mungkin menjadi salah satu sebab utama minat rendah terhadap permodalan kecil.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan berada antara julat 1,645-1,655 hari ini dalam tempoh musim pengumuman keputusan pendapatan bagi suku ketiga 2024,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik 10 sen kepada RM10.80, Public Bank meningkat enam sen kepada RM4.74, CIMB menambah 20 sen kepada RM8.13 dan Tenaga menokok 16 sen kepada RM14.08, IHH merosot dua sen kepada RM6.28.

Bagi Kalangan kaunter paling aktif, Vetece melonjak 22 sen kepada 47 sen, Velesto menambah 0.5 sen kepada 21.5 sen manakala Notion jatuh 3.5 sen kepada 85.5 sen, Securemetric merosot 2.5 sen kepada 21.5 sen dan Tanco berkurangan satu sen kepada RM1.03.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 69.09 mata kepada 12,489.83, Indeks FBMT 100 naik 73.71 mata kepada 12,184.27 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 33.88 mata kepada 12,358.98.

Indeks FBM 70 menokok 23.25 mata kepada 17,790.24, bagaimanapun Indeks FBM ACE merosot 13.61 mata kepada 5,176.33.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 33.08 mata kepada 7,247.74, Indeks Tenaga turun 2.16 mata kepada 944.72, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menguncup 0.12 mata kepada 183.41, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 3194.67 mata kepada 19,473.52.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan