PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Atasi Bursa Serantau, Indeks Komposit Naik 1.37 Peratus Pada Tengah Hari

28/08/2024 02:31 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia bertentangan dengan penyusutan bursa serantau apabila indeks petunjuk pasaran meningkat 1.37 peratus pada sesi pagi berikutan pendapatan korporat yang lebih kukuh terutama dalam sektor perbankan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melebihi paras 1,670, naik 22.70 mata kepada 1,674.99 daripada 1,652.29 semasa ditutup pada Selasa.

FBM KLCI melepasi paras tertinggi dalam tempoh 44 bulan sebelum ini iaitu 1,674.35 yang direkodkan pada 17 Dis 2020.

Indeks dibuka 5.48 mata lebih tinggi kepada 1,657.77 dan mencapai paras kemuncak pada 1,681.37 tengah hari ini. 

Bagaimanapun, pasaran lebih luas adalah negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 559 berbanding 439, dengan 456 kaunter tidak berubah, 1,062 tidak diniagakan dan 42 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berjumlah 2.30 bilion unit bernilai RM2.22 bilion.

Dipacu oleh prestasi teguh saham perbankan, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 492.30 mata kepada 19,771.15.

Sementara itu, bursa serantau dalam sentimen jualan di tengah-tengah prestasi lembap di Wall Street dalam tempoh semalaman, dengan Indeks Straits Times Singapura susut 0.22 peratus kepada 3,391.11, Hang Seng Hong Kong turun 0.97 peratus kepada 17,700.93, Nikkei Jepun berkurangan 0.02 peratus kepada 38,282.14, dan Kospi Korea Selatan merosot 0.29 peratus kepada 2,681.47.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pelabur asing mula menyimpan aset dalam denominasi ringgit berikutan jangkaan pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS bulan depan.

“Kami menjangka pelabur asing akan terus meningkatkan pegangan mereka dalam saham mewah, terutama dalam sektor kewangan memandangkan pengurangan kadar akan memberi manfaat yang ketara kepada industri ini.

“Berikutan hasil lebih rendah dalam aset pendapatan tetap seperti bon, pelabur mungkin tertarik kepada saham yang membayar dividen. Kalangan bank Malaysia, yang dikenali dengan pembayaran dividen yang konsisten, boleh menarik aliran masuk pelaburan yang besar,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank melonjak 20 sen kepada RM10.90, Public Bank meningkat 11 sen kepada RM4.79, CIMB naik 35 sen kepada RM8.28, dan Tenaga menambah 12 sen kepada RM14.04, manakala IHH menokok satu sen kepada RM6.31.

Bagi saham aktif, Lustre tidak berubah pada 7.5 sen manakala syarikat baru disenaraikan di Pasaran ACE, Vetece menokok 20.5 sen kepada 45.5 sen, dan MYEG meningkat setengah sen kepada 90.5 sen

Notion merosot dua sen kepada 87 sen dan Cape EMS berkurangan setengah sen kepada 36 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 107.68 mata kepada 12,528.42, Indeks FBMT 100 menokok 115.66 mata kepada 12,226.22 manakala Indeks FBM Emas Syariah susut 2.81 mata kepada 12,322.28.

Indeks FBM 70 berkurangan 18.84 mata kepada 17,748.15 dan Indeks FBM ACE merosot 31.54 mata kepada 5,158.40.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 47.31 mata kepada 7,261.97, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.06 mata kepada 183.59 manakala Indeks Tenaga merosot 6.99 mata kepada 939.89.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan