PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Terus Kukuh, FBM KLCI Ditutup Hampir Paras Tertinggi Dalam Tempoh 45 Bulan

28/08/2024 07:32 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia melanjutkan kenaikan kukuh berterusan dan ini mendorong indeks utama ditutup kepada hampir paras tertinggi dalam tempoh 45 bulan pada Rabu.

Prestasi ini dipacu oleh lonjakan sentimen dalam sektor kewangan, disokong oleh laporan pendapatan sukuan yang kukuh oleh kalangan syarikat utama.

Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 22.95 mata atau 1.38 peratus kepada 1,675.24 daripada 1,652.29 ketika ditutup pada Selasa.

Paras tinggi terdekat adalah 1,681.41 yang direkodkan pada 16 Dis, 2020.

Indeks itu dibuka 5.48 mata lebih tinggi kepada 1,657.77 sebelum bergerak dalam wilayah positif sepanjang hari dengan paras tertinggi harian pada 1,681.37 dan terendah pula 1,657.77.

Bagaimanapun, lingkungan pasaran adalah lemah dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 783 berbanding 407, manakala 457 kaunter tidak berubah, 869 kaunter tidak diniagakan dan 42 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.96 bilion unit bernilai RM4.65 bilion daripada 3.18 bilion unit bernilai RM3.19 bilion pada Selasa.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI mengakhiri dagangan hari ini dengan positif, dan ia melepasi paras 1,680 semasa awal dagangan.

Beliau berkata potensi perubahan penting oleh Rizab Persekutuan AS dan peningkatan minat risiko dalam kalangan pelabur asing turut menyumbang kepada dinamik pasaran yang menggalakkan ini.

“Prestasi hari ini mencerminkan sentimen positif dalam pasaran ekuiti AS, apabila keyakinan pengguna yang semakin meningkat memperkukuh keyakinan pelabur,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata Indeks Kewangan Bursa Malaysia dan Indeks Utiliti Bursa Malaysia mencatatkan prestasi paling cemerlang dalam sesi dagangan hari ini, manakala antara komponen FBM KLCI, saham kewangan dan telekomunikasi menerajui kenaikan.

“Kami menjangkakan momentum yang mampan dalam sektor kewangan pada tempoh suku akan datang, dipacu oleh sentimen optimis semasa dan pendapatan kukuh berterusan yang dicatatkan syarikat perkhidmatan kewangan.

“Dalam sektor utiliti, aktiviti pembelian semasa harga murah dijangka dicatatkan saham minyak dan gas susulan prestasi kewangan yang mengagumkan,” katanya.

Beliau berkata selain sektor perbankan dan utiliti, pengukuhan ringgit telah memberi kesan positif kepada sektor pengguna, pembinaan dan bahan binaan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi kukuh FBM KLCI hari ini adalah seiring dengan prestasi serantau yang memberangsangkan.

“Kebanyakan pasaran yang sedang pesat membangun meneruskan trajektori meningkat, disokong oleh pembelian asing yang berterusan susulan pengukuhan mata wang kalangan negara Asia berbanding dolar AS,” katanya.

“Di peringkat tempatan, FBM KLCI ditutup pada antara paras tertinggi hari ini bagi tempoh sejak Disember 2020. Kami optimis mengenai prospek pasaran bagi jangka masa sederhana memandangkan sentimen lebih baik dalam pasaran tempatan dan kembalinya dana asing,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 16 sen kepada RM10.86, Public Bank meningkat 12 sen kepada RM4.80, CIMB melonjak 45 sen kepada RM8.38, Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM14.00 dan IHH naik satu sen kepada RM6.31.

Antara saham aktif, Luster kekal pada 7.5 sen, manakala Vetece yang baru disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 15.5 sen kepada 40.5 sen, dan MYEG bertambah setengah sen kepada 90.5 sen.

Notion turun satu sen kepada 88 sen dan SP Setia merosot 19 sen kepada RM1.08.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 49.85 mata kepada 12,470.59, Indeks FBMT 100 meningkat 63.50 mata kepada 12,174.06 namun, Indeks FBM Emas Syariah susut 91.21 mata kepada 12,233.89.

Indeks FBM 70 merosot 296.30 mata kepada 17,470.69 dan Indeks FBM ACE kurang 70.31 mata kepada 5,119.63.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menokok 79.09 mata kepada 7,293.75, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 546.09 mata kepada 19,824.94, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.34 mata kepada 182.19, serta Indeks Tenaga menguncup 22.27 mata kepada 924.61.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.47 bilion unit bernilai RM4.38 bilion daripada 1.74 bilion unit bernilai RM2.90 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran sebanyak 897.37 juta unit bernilai RM97.25 juta berbanding 956.31 juta unit bernilai RM122.95 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 578.98 juta saham bernilai RM176.43 juta daripada 487.62 juta saham bernilai RM165.72 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 242.30 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (687.00 juta), pembinaan (178.17 juta), teknologi (340.22 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (295.74 juta), hartanah (287.73 juta), perladangan (30.81 juta), REIT (12.03 juta), dana tertutup (20,500), tenaga (129.10 juta), penjagaan kesihatan (95.28 juta), telekomunikasi dan media (47.03 juta), pengangkutan dan logistik (41.02 juta), utiliti (91.65 juta), dan amanah perniagaan (345,700).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan