PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

28/08/2024 09:24 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Rabu, menjejaki penurunan harga kacang soya, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata ringgit yang mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) turut mempengaruhi sentimen pasaran.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM3,800 satu tan dan paras rintangan pada RM4,000 satu tan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM mengalami turun naik antara paras sokongan dan rintangan tetap dalam jangka masa panjang disebabkan petunjuk negatif daripada pasaran minyak kacang soya AS dan Amerika Selatan.

“Eksport minyak sawit Malaysia dalam tempoh 1-25 Ogos yang dianggarkan oleh Intertek Testing Services pada 1.06 juta tan, turun 14.9 peratus dan anggaran oleh AmSpec Agri Malaysia pada 1.01 juta tan, jatuh 14.05 peratus daripada anggaran eksport masing-masing untuk tempoh 1-25 Julai.

"Data Persatuan Pengilang-pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menunjukkan pengeluaran minyak sawit pada 1-25 Ogos turun di bawah satu peratus pada asas bulan ke bulan," katanya.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta September 2024 meningkat RM15 kepada RM4,020 satu tan, Oktober 2024 naik RM1 kepada RM3,959 satu tan dan November 2024 jatuh RM3 kepada RM3,920 satu tan.

Kontrak Disember 2024 susut RM5 kepada RM3,895 satu tan, Januari 2025 turun RM9 kepada RM3,880 satu tan dan Februari 2025 jatuh RM9 kepada RM3,873 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 62,281 lot daripada 87,640 lot semasa ditutup pada Selasa, manakala kepentingan terbuka susut kepada 223,767 kontrak daripada 225,283 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan turun RM10 kepada RM4,040 satu tan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan