PASARAN > BERITA

Ringgit Naik Berikutan Pelabur Asing Pacu Bursa Tempatan

29/08/2024 09:28 AM

Oleh Engku Shariful Engku Ab Latif and Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Ringgit terus dibuka pada kadar yang lebih baik pagi ini, mendapat manfaat daripada kesan limpahan yang didorong oleh minat pelabur asing dalam bursa tempatan.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.3385/3485 berbanding dolar AS daripada 4.3425/3460 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minat pelabur asing yang tinggi dalam pasaran modal Malaysia telah mendorong permintaan terhadap ringgit, seperti yang dapat dilihat daripada kenaikan semalam apabila indeks utama ditutup hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh 45 bulan kepada 1,675.24.

Katanya peserta pasaran memantau data ekonomi Amerika Syarikat (AS), terutamanya inflasi Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS pada suku kedua 2024.

Beliau berkata pasangan mata wang USD/MYR dijangka bergerak ke arah paras sokongan segera pada RM4.3000, walaupun mungkin terdapat aktiviti pengambilan untung.

“Sehubungan itu, ringgit dijangka berada antara RM4.3400 dan RM4.3500 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dan mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.0035/0106 daripada 3.0096/0122 pada Rabu, meningkat berbanding euro kepada 4.8261/8373 daripada 4.8362/8401 dan menambah berbanding pound kepada 5.7233/7365 daripada 5.7425/7472.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3281/3360 daripada 3.3337/3367 pada Rabu dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7367/7739 daripada 12.7709/7865.

Ia turut naik berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.74 daripada 7.72/7.73 pada Rabu dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 281.2/282.1 daripada 281.5/281.9.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan