PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

29/08/2024 12:54 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan selama tiga hari berturut-turut apabila dibuka rendah berikutan sentimen serantau yang lemah dan menjejaki penurunan semalaman Wall Street susulan peniaga menunggu keputusan kewangan Nvidia Corporation.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.49 mata atau 0.38 peratus kepada 1,668.75, susut daripada 1,675.24 pada Rabu.

Indeks memulakan hari ini merosot 2.29 mata kepada 1,672.95.

Pasaran secara menyeluruh lemah, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 273 berbanding 115. 

Terdapat 243 kaunter tidak berubah, 1,887 tidak diniagakan dan 108 digantung. 

Jumlah dagangan sebanyak 151.22 juta unit bernilai RM99.78 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun pendapatan Nvidia mengatasi anggaran, niaga hadapan saham AS merosot hampir 7 peratus.

Beliau berkata penurunan itu berikutan kekecewaan terhadap unjuran syarikat dan jangkaan yang tinggi daripada peniaga.

Bagaimanapun, Nvidia melaporkan pendapatan selepas pasaran ditutup yang mengatasi jangkaan Wall Street dan memberikan panduan yang lebih kukuh daripada jangkaan untuk suku tahun semasa.

“Dalam negara, FBM KLCI ditutup melebihi paras 1,670 semalam, paras yang tidak dilihat sejak 2019.

“Walaupun terdapat kenaikan 40 mata dalam indeks petunjuk pasaran sejak Jumaat lepas, kami kekal positif dan percaya kecairan akan memberi manfaat kepada pasaran yang lebih luas,” katanya kepada Bernama.

Thong menjangka FBM KLCI akan berada dalam julat 1,670 hingga 1,680 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot dua sen kepada RM10.84, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.77, CIMB berkurangan 11 sen kepada RM8.27 dan Tenaga turun empat sen kepada RM13.96.

Bagaimanapun, IHH naik dua sen kepada RM6.33.

Dalam kalangan saham aktif, Luster dan Velesto, masing-masing merosot setengah sen kepada tujuh sen dan 21 sen.

Powerwell susut empat sen kepada 38 sen manakala Cape dan TWL, masing-masing kekal tidak berubah pada 35 sen dan 2.5 sen. Sealink naik satu sen kepada 35.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 57.10 mata kepada 12,413.48, Indeks FBMT 100 berkurangan 57.68 mata kepada 12,116.38 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 59.46 mata kepada 12,174.43.

Indeks FBM 70 merosot 122.07 mata kepada 17,348.62 dan Indeks FBM ACE berkurangan 17.06 mata kepada 5,102.57.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 15.05 mata kepada 7,308.80 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 68.26 mata kepada 19,756.68.

Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.51 mata kepada 181.68 dan Indeks Tenaga susut 5.91 mata kepada 918.70.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan