PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Akhiri Kenaikan Tiga Hari Berturut-turut

29/08/2024 07:28 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini mengakhiri kenaikan tiga hari berturut-turutnya apabila para pelabur mengambil keuntungan di tengah-tengah prestasi negatif kebanyakan bursa serantau lain. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 21.69 mata atau 1.29 peratus kepada 1,653.55 daripada paras penutup 1,675.24 pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka rendah turun 2.29 mata kepada 1,672.95 dan turun naik antara paras 1,651.73 dan 1,684.68 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Keseluruhan pasaran rendah dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 851 berbanding 316, dengan 457 kaunter tidak berubah, 894 tidak diniagakan dan 108 yang lain digantung. 

Jumlah dagangan turun kepada 3.67 bilion unit bernilai RM3.96 bilion daripada 3.96 bilion unit bernilai RM4.65 bilion pada Rabu.

Penganalisis percaya penurunan FBM KLCI hari ini satu perkembangan sihat memandangkan kedudukan indeks itu di atas paras sokongan 1,636. 

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors  Mohd Sedek Jantan berkata indeks utama itu melepasi seketika paras 1,680 semasa sesi tengah hari, menunjukkan momentum meningkat kukuhnya. 

“Tinjauan ekonomi yang positif, ditambah dengan minat belian yang berterusan dalam saham perbankan, peningkatan ringgit, dan potensi penurunan kadar Rizab Persekutuan AS, menyokong pemulihan berterusan FBM KLCI.

"Sektor telekomunikasi meneraju pasaran hari ini, didorong oleh laporan pendapatan suku kedua yang kukuh," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata pelabur dijangka memantau rapat pemangkin tempatan dan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang akan diumumkan malam ini sebelum membuat keputusan penting.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan lemah hari ini disebabkan pengambilan untung berikutan kenaikan kukuh baru-baru ini.

“Kami percaya ini adalah penurunan harga yang sihat kerana ia menyediakan peluang yang baik untuk mengumpul saham pada harga lebih rendah dan membentuk asas kukuh bagi mengekalkan aliran meningkat,” katanya.

Hari ini, kaunter kewangan, Hong Leong Financial Group Bhd dan Hong Leong Bank Bhd mengumumkan keputusan kewangan 2024 yang kukuh apabila kedua-duanya mencatatkan keuntungan dan hasil bersih serta perolehan yang lebih tinggi.

"Kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam jajaran 1,650-1,670 menjelang hujung minggu," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 18 sen kepada RM10.68, Public Bank turun 10 sen kepada RM4.70, CIMB berkurangan 38 sen kepada RM8.00, Tenaga jatuh enam sen kepada RM13.94, dan IHH susut dua sen kepada RM6.29.

Manakala dalam kalangan kaunter cergas, Cape EMS turun setengah sen pada 34.5 sen, SP Setia dan Sime Darby Property susut lima sen setiap satu masing-masing kepada RM1.03 dan RM1.28, dan Bumi Armada jatuh tiga sen kepada 50.5 sen. Key Alliance tidak berubah pada setengah sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 170.39 mata kepada 12,300.20, Indeks FBMT 100 turun 168.18 mata kepada 12,005.87, dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 109.92 mata kepada 12,123.

Indeks FBM 70 jatuh 280.82 mata kepada 17,189.87, manakala Indeks FBM ACE susut sebanyak 38.55 mata kepada 5,081.08.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 6.71 mata kepada 7,287.04 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 349.34 mata kepada 19,475.60.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut sebanyak 1.73 mata kepada 180.46 dan Indeks Tenaga merosot sebanyak 11.15 mata kepada 913.46.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.03 bilion unit bernilai RM3.70 bilion daripada 2.48 bilion unit bernilai RM4.38 bilion pada hari Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.08 bilion unit bernilai RM118.58 juta daripada 897.39 juta unit bernilai RM97.25 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 543.66 juta saham bernilai RM139.78 juta daripada 578.98 juta saham bernilai RM176.43 juta. 

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang  209.62 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (427.53 juta), pembinaan (186.59 juta), teknologi (285.61 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (188.07 juta), hartanah (271.73 juta), perladangan (38.37 juta), REITs (17.07 juta), dana tertutup (49,600), tenaga (124.09 juta), penjagaan kesihatan (77.11 juta), telekomunikasi dan media (64.61 juta), pengangkutan dan logistik (55.98 juta), utiliti (92.14 juta) dan amanah perniagaan (531,400).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan