PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Didorong Oleh Harga Minyak Kacang Soya Lebih Tinggi

29/08/2024 09:53 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri penurunan selama dua hari dengan ditutup tinggi pada Khamis, didorong oleh harga minyak soya yang lebih tinggi sewaktu dagangan Asia, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata kebimbangan terhadap penyusutan pengeluaran dalam beberapa minggu kebelakangan ini turut mempengaruhi sentimen pasaran.

“Kami mendapati paras sokongan pada RM3,830 satu tan dan rintangan pada RM4,000 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata pembelian semasa harga murah yang sekali-sekala dan prestasi berbeza di Bursa Komoditi Dalian China membantu mengekalkan pasaran.

“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh ringgit yang lebih tinggi berbanding dolar AS, manakala eksport minyak sawit dijangka rendah pada akhir bulan ini,” katanya.

Pada penutupan dagangan, September 2024 meningkat RM27 kepada RM4,047 satu tan, Oktober 2024 naik RM21 kepada RM3,980 satu tan, dan November 2024 bertambah RM20 kepada RM3,940 satu tan.

Disember 2024 menokok RM17 kepada RM3,912 satu tan, Januari 2025 naik RM18 kepada RM3,898 satu tan, dan Februari 2025 meningkat RM19 kepada RM3,892 satu tan.

Jumlah dagangan berkurang kepada 56,204 lot daripada 62,281 lot ketika ditutup pada Rabu, manakala kepentingan menokok kepada 224,753 kontrak daripada 223,767 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan meningkat RM30 kepada RM4,070 setiap tan daripada harga semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan