PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS

30/08/2024 09:40 AM

Oleh Engku Shariful Engku Ab Latif and Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Ringgit terus meningkat pada sesi pembukaan pada Jumaat berbanding dolar AS, didorong oleh prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang baik dan pendapatan korporat yang positif, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.3005/3200 berbanding dolar AS daripada 4.3080/3140 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prospek yang baik untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia dan sentimen positif terhadap pendapatan syarikat dapat menarik dana asing, diterjemahkan kepada permintaan terhadap mata wang tempatan.

“Terdapat pandangan yang positif daripada Nomura Group, bank pelaburan dan pembrokeran terbesar Jepun yang menaikkan penarafan Malaysia kepada ‘wajaran tinggi’ berdasarkan asasnya yang kukuh dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua yang baik.

“Kami turut menyaksikan aliran masuk dana ke pasaran ekuiti,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat berikutan pertumbuhan KDNK Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua telah disemak semula daripada 2.8 peratus kepada 3.0 peratus manakala tuntutan pengangguran awal turun kepada 231,000 pada minggu lepas daripada 233,000 sebelum ini.

“Berdasarkan DXY yang tinggi, ringgit akan menyaksikan pembetulan selepas mencatatkan kenaikan pada minggu ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya data terkini AS mungkin tidak akan mengubah hala tuju kadar faedah AS berikutan data terdahulu dan trajektori tuntutan pengangguran masih berada pada tahap yang tinggi, dengan ramai pekerja AS memohon faedah pengangguran.

“Sehubungan itu, trend semasa ringgit yang kukuh akan kekal utuh,” katanya.

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama dan mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9681/9818 daripada 2.9811/9855 pada Khamis, naik berbanding euro kepada 4.7650/7866 daripada 4.7789/7855 dan melonjak berbanding pound kepada 5.6616/6873 daripada 5.6835/6915 semalam. 

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3012/3164 daripada 3.3118/3167 pada Khamis dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 278.8/280.1 daripada 279.3/279.7.  

Ia turut naik berbanding baht Thailand kepada 12.6754/7422 daripada 12.6911/7155 pada Khamis dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.64/7.68 daripada 7.65/7.67.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan