PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Seiring Prestasi Pasaran Serantau

30/08/2024 07:37 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Jumaat daripada penurunan semalam dengan indeks penanda aras naik 1.53 peratus seiring prestasi kukuh dalam pasaran serantau.

Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 25.25 mata kepada 1,678.80 berbanding paras penutup 1,653.55 semalam.

Petunjuk pasaran dibuka tinggi 4.93 mata kepada 1,658.48 dan bergerak antara paras 1,651.10 dan 1,679.85 sepanjang sesi dagangan.

Pada keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 771 berbanding 421 manakala 437 kaunter tidak berubah, 861 tidak diniagakan dan 80 yang lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 3.95 bilion unit bernilai RM6.22 bilion berbanding 3.67 bilion unit bernilai RM3.96 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama di seluruh rantau itu meningkat menjelang pengumuman data perbelanjaan penggunaan peribadi Amerika Syarikat (AS) lewat malam ini, ia akan menunjukkan sama ada Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah bulan depan.

“Oleh itu, mata wang utama Asia mengukuh berbanding dolar US,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, indeks Straits Times Singapura naik 1.13 peratus kepada 3,442.93, Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 1.14 peratus kepada 17,989.07 dan Indeks Komposit SSE China menambah 0.68 peratus kepada 2,842.21.Nikkei Jepun mengukuh 0.74 peratus kepada 38,647.75 dan Kospi Korea Selatan meningkat 0.45 peratus kepada 2,674.31.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI mengakhiri dagangan minggu ini dengan positif, menjejaki unjuran dalaman bagi julat dagangan antara 1,640 dan 1,670 mata.

“Ditutup pada 1,678 mata hari ini, indeks FBM KLCI berjaya melepasi paras rintangan utama 1,660, menggariskan momentum menaik yang kukuh. Kenaikan ini disokong oleh prospek ekonomi menggalakkan, pendapatan korporat berdaya tahan, ringgit semakin kukuh dan peningkatan pelaburan asing dalam ekuiti Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Sedek berkata kenaikan hari ini diterajui oleh saham utiliti, didorong oleh keputusan suku tahunan Tenaga yang kukuh dan penurunan harga arang batu global yang akan mengurangkan kos penjanaan tenaga.

Antara saham berwajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank naik 10 sen kepada RM10.78, Public Bank menokok 12 sen kepada RM4.82, CIMB menokok 20 sen kepada RM8.20, Tenaga menambah 70 sen kepada RM14.64, bagaimanapun IHH merosot dua sen kepda RM6.27.

Bagi saham aktif, Sunway meningkat 11 sen kepada RM4.10, Barakah menokok 0.5 sen kepada 7.5 sen, Cape EMS meningkat dua sen kepada 36.5 sen, YTL Power naik 22 sen kepada RM3.88 dan Velesto tidak berubah pada 21 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 184.06 mata kepada 12,484.26; Indeks FBMT 100 meningkat 181.75 mata kepada 12,187.62; Indeks FBM Emas Shariah menambah 162.70 mata kepada 12,286.67; Indeks FBM 70 melonjak 254.05 mata kepada 17,433.82 dan Indeks FBM ACE naik 35.01 mata kepada 5,116.09.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 26.15 mata kepada 7,313.19 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 241.93 mata kepada 19,717.53; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.94 mata kepada 181.40; Indeks Tenaga melonjak 13.24 mata kepada 926.70.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok kepada 2.51 bilion unit bernilai RM5.98 bilion daripada 2.03 bilion unit bernilai RM3.70 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.04 bilion unit bernilai RM123.82 juta daripada 1.08 bilion unit bernilai RM118.58 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan sebanyak 398.42 juta saham bernilai RM108.68 juta berbanding 543.66 juta saham bernilai RM139.78 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 269.23 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (629.73 juta); pembinaan (215.96 juta); teknologi (288.80 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (230.94 juta); hartanah (257.59 juta); perladangan (33.89 juta); REIT (12.77 juta), dana tertutup (31,000); tenaga (224.43 juta); penjagaan kesihatan (71.67 juta); telekomunikasi dan media (70.76 juta); pengangkutan dan logistik (50.65 juta); utiliti (154.35 juta) dan amanah perniagaan (966,100). 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan