PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Meneruskan Keuntungan Untuk Ditutup Tinggi

30/08/2024 09:46 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives melanjutkan keuntungan untuk ditutup lebih tinggi hari ini, menjejaki kenaikan dalam pasaran minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak mentah yang lebih mantap turut mempengaruhi sentimen pasaran.

“Kami melihat sokongan pada paras RM3,900 satu tan dan rintangan pada RM4,080 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata keuntungan kukuh dalam minyak sayuran berkaitan di Dalian serta Bursa Komoditi Zhengzhou, China dan Chicago Mercantile Exchange (CME) Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kerancakan membeli pada sesi pertama.

Pada penutup, kontrak bulan semerta September 2024 meningkat RM28 kepada RM4,075 satu tan, Oktober 2024 naik RM35 kepada RM4,015 satu tan dan November 2024 menokok RM37 kepada RM3,977 satu tan.

Kontrak Disember 2024 bertambah sebanyak RM33 kepada RM3,945 satu tan, Januari 2025 menokok RM26 kepada RM3,924 satu tan dan Februari 2025 melonjak RM18 kepada RM3,910 satu tan.

Jumlah dagangan bertambah kepada 63,742 lot daripada 56,204 lot yang disaksikan semalam, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 230,900 kontrak daripada 224,753 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan adalah RM30 lebih baik kepada RM4,100 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan