PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Meningkat Minggu Depan

31/08/2024 10:27 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka menyaksikan dagangan lebih tinggi pada minggu depan, didorong oleh penyusutan hasil tuaian akibat faktor hujan lebat berterusan di negara-negara pengeluar utama, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata bahagian utara Semenanjung Malaysia dan Thailand sedang mengalami keadaan cuaca luar biasa yang menyebabkan Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran hujan lebat dan menggesa penduduk membuat persediaan menghadapi banjir kilat.

“Permintaan juga berbeza. Pengeluaran getah di China dan India misalnya tidak dapat menampung permintaan tempatan, ditambah dengan keadaan cuaca tidak menentu yang turut memberi tekanan kepada negara pengeluar getah lain.

"Oleh itu, mungkin ada aktiviti penambahan stok simpanan lebih ketara yang mungkin membawa kepada peningkatan permintaan pada minggu-minggu akan datang," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran getah dijangka terus dipengaruhi oleh pergerakan pasaran serantau.

Ketika peningkatan harga berkemungkinan disokong oleh faktor seperti bekalan terhad dan petunjuk ekonomi yang positif, MARGMA berkata pasaran masih terdedah kepada keadaan yang tidak menentu.

“Kami turut memberi perhatian kepada keadaan cuaca serta bekalan daripada negara pengeluar utama.

“Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat akan menjadikan getah Malaysia kurang kompetitif di pasaran global.

“Jika ekonomi China terus lemah, permintaan terhadap produk-produk getah juga akan terjejas,” katanya.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi  Getah Mutu Malaysia (SMR 20) menokok 10 sen kepada 800.0 sen sekilogram (kg) daripada 790.0 sen sekilogram, seminggu sebelumnya.

Lateks pukal pula naik 11 sen kepada 650.5 sen sekilogram daripada 639.5 sen sekilogram sebelum ini.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal adalah 795.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 650.0 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan