PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Cenderung Meningkat Minggu Depan

31/08/2024 10:28 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan, meneruskan momentum positifnya minggu ini, didorong oleh kebimbangan terhadap prospek pengeluaran yang lembap, kata seorang peniaga.

“Kami mengunjurkan harga komoditi itu akan didagangkan antara RM3,850 satu tan metrik dan RM4,050 setan metrik minggu depan,” kata peniaga minyak sawit David Ng kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata harga MSM dijangka didagangkan dalam julat yang sama.

Beliau berkata ketidaktentuan pasaran akan berlaku dalam persekitaran data eksport dan pengeluaran minyak sawit Malaysia sebulan penuh.

Sementara itu, Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh menjangkakan niaga hadapan MSM akan didagangkan lebih rendah disebabkan aktiviti pengambilan untung minggu depan.

Beliau berkata harga dijangka diniagakan antara RM3,700-RM3,800 satu tan metrik.

“Permintaan fizikal datang dari China, India, Pakistan, Timur Tengah, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat dan stok masih banyak di Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta September 2024 naik RM99 kepada RM4,075 satu tan metrik manakala Oktober 2024 meningkat RM99 kepada RM4,015 setan metrik dan November 2024 menambah RM110 to RM3,977 satu tan metrik.

Dalam pada itu, kontrak Disember 2024 melonjak RM94 kepada RM3,945 setan metrik manakala Januari 2025 menokok RM77 kepada RM3,924 satu tan metrik dan Februari 2025 menambah RM72 kepada RM3,910 setan metrik.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 366,765 lot daripada 361,091 lot minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 230,900 kontrak daripada 223,891 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan meningkat RM100 kepada RM4,100 satu tan pada Jumaat daripada RM4,000 satu tan sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan