PASARAN > BERITA

Ringgit Dijangka Diniagakan Tinggi Pada Minggu Depan

31/08/2024 10:30 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan tinggi berbanding dolar AS minggu depan berikutan permintaan yang berterusan untuk mata wang tempatan itu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit berkemungkinan menembusi paras sokongan segeranya pada RM4.3030 dalam tempoh terdekat.

Beliau juga menyatakan bahawa antara data ekonomi yang akan dipantau minggu depan ialah Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia dan senarai gaji bukan ladang AS.

"Jika kita melihat kepada gandingan dolar AS/ringgit sejak tambatan mata wang dimansuhkan pada 21 Julai 2005, paras purata berada pada RM3.7875. Oleh itu, terdapat kecenderungan tinggi untuk ringgit terus meningkat kerana ringgit mungkin kembali pulih kepada purata jangka panjangnya," katanya kepada Bernama.

 Sementara itu, AmBank Group berkata ringgit mampu mengukuh lagi pada masa hadapan disebabkan asas yang sihat serta mengambil kira langkah Rizab Persekutuan AS untuk memulakan kitaran penurunan kadar faedahnya.

“Ini selaras dengan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) untuk baki 2024 dan mungkin pada separuh pertama 2025, dengan itu akan mengecilkan perbezaan kadar antara OPR dan Kadar Dana Persekutuan,” katanya dalam satu nota pada Jumaat.

Selain itu, ia berkata penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS tanpa kemungkinan ekonomi AS mengalami kemelesetan akan menjadi petanda baik untuk selera risiko dan ini akan membawa sedikit tarikan untuk aset pasaran sedang pesat membangun termasuk aset dalam denominasi ringgit.

“Kami melihat beberapa pembelian asing ke dalam ekuiti Malaysia sehingga 29 Ogos 2024, melonjakkan jumlah belian asing bersih kepada RM2.53 bilion pada asas tahun setakat ini. Ditambah dengan penarafan kedaulatan kredit Malaysia yang agak sihat, kami berpendapat aliran masuk portfolio ke Malaysia sepatutnya memberi petanda yang baik untuk ringgit,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.3185/3225 berbanding dolar AS daripada 4.3720/3775 seminggu yang lepas.

Mata wang tempatan itu juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding euro, ditutup pada 4.7862/7906 daripada 4.8604/8665, naik berbanding pound Britain kepada 5.6939/6992 berbanding 5.7391/7463 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9754/9784 daripada 2.9914/9956 pada minggu sebelumnya.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.3158/3191 daripada 3.3410/3454 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 279.3/279.8 berbanding 282.1/282.7 sebelumnya.

Ringgit juga meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7540/7726 daripada 12.7575/7810 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.70 daripada 7.75/7.76 seminggu sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan