PASARAN > BERITA

FBM KLCI Diunjur Dalam Julat 1,671-1,700 Minggu Depan Berikutan Sentimen Global Lebih Baik

31/08/2024 10:31 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- FBM KLCI diunjurkan dalam julat antara 1,671 hingga 1,700 minggu depan memandangkan sentimen pelabur dijangka lebih baik di peringkat serantau dan global, kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng.

Beliau berkata keadaan pasaran dijangka kekal stabil di dalam negara, dan indeks itu berkemungkinan kekal positif.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menolak kemungkinan kepada beberapa aktiviti pengambilan untung. FBM KLCI telah menunjukkan aliran meningkat yang teguh, diniagakan melepasi purata pergerakan eksponen (EMA) 20 hari dan EMA 50 hari, menunjukkan momentum optimis dalam jangka pendek.

“Jurang yang semakin luas antara indeks dan purata pergerakan ini terus meningkatkan kekukuhan aliran meningkat semasa,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Thong berkata FBM KLCI mungkin berdepan paras rintangan 1,680 dan paras psikologi 1,700.

“Sebaliknya, paras sokongan penting adalah pada 1,635, diikuti dengan 1,620. Penurunan di bawah EMA boleh menyebabkan momentum peningkatan yang lemah dan potensi peralihan ke arah konsolidasi atau aliran menyusut.

“Secara keseluruhan, unjuran kekal positif selagi indeks kekal melepasi paras sokongan kritikal, tetapi perlu berhati-hati memandangkan pasaran menghampiri keadaan terlebih beli,” katanya.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata indeks itu boleh mencapai paras penting 1,700 dalam tempoh terdekat.

“Kami kekal optimis dan mengekalkan unjuran 1,735 menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata di seluruh indeks sektor Bursa Malaysia pada Jumaat, industri berkaitan rantaian bekalan pusat data, termasuk hartanah, teknologi, utiliti dan pembinaan meraih keuntungan ketara.

“Ini sebagai reaksi kepada rekod di Wall Street, didorong oleh data ekonomi AS yang kukuh, termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua yang lebih baik daripada jangkaan dan penurunan tuntutan pengangguran, mengukuhkan sentimen pelabur terhadap pemulihan ekonomi global,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat sebanyak 43.06 mata kepada 1,678.80 daripada 1,635.74 minggu lepas.

Pada 27 Ogos, Bursa Malaysia mencecah paras tertinggi dalam tempoh 44 bulan dan hampir paras tertinggi dalam tempoh 45 bulan pada hari berikutnya (28 Ogos), dipacu oleh lonjakan sentimen dalam sektor kewangan, disokong oleh laporan pendapatan suku tahunan yang kukuh daripada penggiat utama serta prestasi pendapatan yang teguh oleh syarikat pembuat cip global Nvidia Co.

Bagaimanapun, FBM KLCI menurun pada 29 Ogos selepas mencatat kenaikan selama tiga hari berikutan pengambilan untung, tetapi kedudukan indeks itu bergerak di atas paras sokongan 1,636.

Di papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas meningkat 150.45 mata kepada 12,484.26, Indeks FBM Emas Syariah menokok 24.62 mata kepada 12,286.67 manakala Indeks FBM 70 susut 270.51 mata kepada 17,443.92 dan Indeks ACE FBM turun 99.60 mata kepada 5,116.09.

Sementara itu, Indeks FBMT 100 menokok 174.18 mata kepada 12,187.62.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 696.88 mata kepada 19,717.53, Indeks Perladangan menambah 113.02 mata kepada 7,313.19 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.20 mata kepada 181.40 dan Indeks Tenaga meningkat 5.17 mata kepada 926.7.

Bagi minggu yang baru berakhir, jumlah dagangan susut kepada 17.60 bilion unit bernilai RM20.66 bilion berbanding 18.63 bilion unit bernilai RM17.64 bilion pada minggu sebelumnya

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 10.26 bilion saham bernilai RM19.34 bilion berbanding 10.21 bilion saham bernilai RM16.06 bilion minggu lepas. 

Jumlah dagangan waran susut kepada 4.87 bilion unit bernilai RM580.71 juta daripada 5.63 bilion unit bernilai RM650.47 juta minggu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan