PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Kukuh, Catat Prestasi Terbaik Di Asia Berbanding Dolar AS

04/09/2024 07:24 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Ringgit melantun semula daripada penurunan tiga hari berturut-turutnya untuk ditutup tinggi hari ini, muncul sebagai mata wang mencatatkan prestasi terbaik di Asia berbanding dolar AS, kata seorang penganalisis. 

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat sebanyak 0.36 peratus kepada 4.3505/3560 daripada paras penutup 4.3675/3705 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonominya yang perlahan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) dijangka memuktamadkan penurunan kadar faedahnya pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 17-18 Sept depan.

"Terdapat kemungkinan besar kadar faedah akan dikurangkan kepada 5.00 peratus.

"Dari perspektif perbezaan kadar faedah, ringgit kelihatan menguntungkan kerana Bank Negara Malaysia berkemungkinan mengekalkan OPR stabil pada 3.00 peratus," katanya kepada Bernama sambil menambah ini akan menjadikan aset ringgit kelihatan lebih menarik kepada pelabur asing.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata data peluang pekerjaan belum diisi dan tinjauan pusing ganti buruh (JOLTS) AS yang akan diumumkan malam ini juga akan dipantau rapat oleh peniaga.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali Yen Jepun.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.9981/3.0021 daripada  paras penutup 2.9921/9943 pada Selasa, meningkat berbanding euro kepada 4.8082/8143 daripada 4.8208/8242 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.7052/7125 daripada 5.7267/7306.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain. 

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3299/3344 daripada 3.3360/3386, naik berbanding baht Thailand kepada 12.7096/7294 daripada 12.7537/7680, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 281.0/281.5 daripada 281.2/281.6 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.70 daripada 7.71/7.72 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan