PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Berikutan Kebimbangan Terhadap Unjuran Ekonomi Dunia

04/09/2024 07:38 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu, menjejaki penurunan ekuiti global apabila data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah menimbulkan kebimbangan mengenai kelembapan pertumbuhan ekonomi dunia.

Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.41 mata atau 0.38 peratus kepada 1,670.24 daripada 1,676.65 ketika ditutup semalam.

Indeks utama dibuka 14 mata lebih rendah kepada 1,662.65 dan bergerak antara 1,675.53 hingga 1,662.22 sepanjang dagangan hari ini.

Berikutan penjualan meluas, 813 kaunter ditutup dalam keadaan rugi berbanding 307 kaunter untung, sementara 438 kaunter tidak berubah, 883 kaunter tidak diniagakan, dan sembilan yang lain digantung.

Bagaimanapun, jumlah dagangan meningkat kepada 3.04 bilion unit bernilai RM2.89 bilion daripada 2.98 bilion unit bernilai RM2.94 bilion pada Selasa.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata tinjauan terkini mengenai pembuatan AS pada Ogos oleh Institut Pengurusan Pembelian (ISM) menunjukkan penguncupan bulan kelima berturut-turut dan berada di bawah jangkaan.

Beliau berkata walaupun keadaan pasaran suram namun, terdapat perubahan aliran masuk dana ke pasaran yang sedang pesat membangun termasuk Malaysia, apabila pelabur mencari peluang pertumbuhan di luar AS berikutan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi domestik.

“Dalam lingkungan FBM KLCI, saham kewangan dan telekomunikasi menerajui prestasi. Lebih menarik, indeks telekomunikasi Bursa Malaysia adalah satu-satunya indeks sektor yang ditutup dalam wilayah positif.

“Ini menunjukkan kecenderungan terhadap syarikat yang memiliki asas yang kukuh, mencatatkan peningkatan pendapatan serta memberikan pulangan dividen yang menarik,” katanya.

Mohd Sedek juga mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) esok, menjelang pengurangan kadar faedah AS juga yang dijangkakan bulan ini.

"Persekitaran kadar faedah yang stabil secara umumnya kondusif untuk pasaran saham menjadi lebih menarik. Secara global, pelabur akan memantau dengan teliti data pekerjaan utama AS, dengan laporan gaji bukan ladang bagi Ogos akan dikeluarkan pada Jumaat ini,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata penurunan indeks penanda aras memberikan peluang yang tepat pada masanya untuk pelabur melakukan pembelian semasa harga murah memandangkan asas syarikat Malaysia kekal kukuh.

“Oleh kerana indeks susut disebabkan tekanan pasaran luaran dan pengambilan untung, pelabur yang berpandangan jangka masa panjang mungkin mendapati sekarang adalah masa yang ideal untuk mengumpul saham berkualiti pada harga diskaun.

“Oleh itu, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI kami untuk minggu ini antara paras 1,670 hingga 1,700,” katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank naik 10 sen kepada RM10.80, Public Bank dan CIMB masing-masing turun empat sen kepada RM4.76 dan RM8.21, manakala Tenaga Nasional kekal pada RM14.90 dan IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM6.39.

Bagi kaunter aktif, TWL kekal pada 2.5 sen, Vetece turun satu sen kepada 58.5 sen, Cape EMS dan Elridge Energy masing-masing menguncup 1.5 sen kepada 35.5 sen dan 42.5 sen, sementara Velesto kurang setengah sen kepada 20 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 68.86 mata kepada 12,428.76, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 86.39 mata kepada 12,224.94, dan Indeks FBMT 100 kurang 61.87 mata kepada 12,128.39.

Indeks FBM 70 merosot 146.20 mata kepada 17,370.29, manakala Indeks FBM ACE susut 66.87 mata kepada 5,157.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 18.86 mata kepada 19,643.15, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 1.89 mata kepada 178.07, Indeks Tenaga susut 18.86 mata kepada 897.72, manakala Indeks Perladangan naik 3.81 mata kepada 7,251.84.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.62 bilion unit bernilai RM2.59 bilion daripada 1.71 bilion unit bernilai RM2.65 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 816.31 juta unit bernilai RM100.37 juta daripada 683.58 juta unit bernilai RM83.38 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 607.66 juta saham bernilai RM196.10 juta berbanding 579.20 juta saham bernilai RM214.59 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 201.24 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (264.64 juta), pembinaan (144.70 juta), teknologi (214.27 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (120.74 juta), hartanah (318.20 juta), perladangan (17.79 juta), REIT (15.78 juta), dana tertutup (11,300), tenaga (151.17 juta), penjagaan kesihatan (32.31 juta), telekomunikasi dan media (35.61 juta), pengangkutan dan logistik (43.22 juta), utiliti (56.62 juta), dan amanah perniagaan (74,100).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan