PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Kukuh Berbanding Dolar AS

05/09/2024 09:32 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS pada Khamis berikutan data pekerjaan terkini Amerika Syarikat (AS) menunjukkan permintaan buruh perlahan, memperlihatkan ekonomi AS susut dan mengukuhkan jangkaan kepada penurunan kadar faedah, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3380/3545 berbanding dolar AS daripada 4.3505/3560 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata permintaan terhadap ringgit akan kekal berhati-hati dalam masa terdekat berikutan ekonomi global yang tidak menentu.

 Tinjauan Pembukaan Pekerjaan dan Perolehan Buruh (JOLTS) pada Rabu menunjukkan peluang pekerjaan di AS menyusut berbanding jangkaan kepada 7.673 juta pada Julai berbanding anggaran konsensus 8.09 juta dan lebih rendah berbanding angka Jun iaitu 7.91 juta.

“Oleh itu, Rizab Persekutuan AS (Fed) hampir pasti akan menurunkan kadar apabila ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) mengadakan pertemuan pada 17 dan 18 September,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia akan menyatakan pendirian berkenaan kadar faedah hari ini, dengan kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan tiada perubahan pada Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Apa yang penting pada masa ini ialah penilaian terkini oleh MPC, terutama prospek pertumbuhan global dan inflasi domestik,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata jangkaan kepada penurunan kadar faedah yang agresif oleh Fed boleh memberi gambaran bahawa prospek pertumbuhan global akan lebih mencabar, dengan China turut bergelut untuk mengekalkan sasaran pertumbuhan lima peratus tahun ini.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama pagi ini.

Mata wang tempatan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8065/8248 daripada 4.8082/8143 pada Rabu dan naik berbanding pound Britain kepada 5.7019/7236 daripada 5.7052/7125 sebelumnya namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.0262/3.0379 daripada 2.9981/3.0021 semalam.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3280/3409 daripada 3.3299/3344, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 280.2/281.4 daripada 281.0/281.5 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.70 daripada 7.69/7.70.

Bagaimanapun ia susut berbanding baht Thailand kepada 12.7584/8153 daripada 12.7096/7294 semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan