PASARAN > BERITA

Penjualan Saham-saham YTL Heret Turun Bursa Malaysia Pada Tengah Hari

05/09/2024 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia agak rendah sedikit pada tengah hari, terjejas disebabkan penjualan saham-saham YTL.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.40 mata kepada 1,668.84 berbanding 1,670.24 ketika ditutup pada Rabu. Indeks itu dibuka tinggi 0.31 mata kepada 1,670.55 dan bergerak antara 1,677.46 dan 1,666.88 sepanjang sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 664 berbanding 293, dengan 423 kaunter tidak berubah, 1,075 tidak diniagakan dan lapan digantung. Jumlah dagangan sebanyak 1.9 bilion unit bernilai RM1.63 bilion.

Seorang peniaga berkata pasaran sedang berhati-hati sambil menunggu pengumuman jawatankuasa dasar monetari Bank Negara Malaysia lewat hari ini. Bagaimanapun, pasaran kebanyakannya menjangkakan bank pusat akan mengekalkan kadar dasar semalaman.

Di pasaran luar negara, beliau berkata kebanyakan bursa serantau berada dalam wilayah positif selepas kemerosotan semalam, yang mungkin memberikan sedikit sokongan kepada pasaran tempatan untuk hari dagangan selebihnya.

Beliau berkata pelabur juga memantau dengan teliti laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) AS yang akan dikeluarkan esok untuk mendapatkan maklumat tentang keputusan dasar monetari AS pada masa hadapan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL jatuh 23 sen kepada RM2.77 manakala YTL Power susut 18 sen kepada RM3.71.

YTL Power semalam mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meminta maklumat daripada anak syarikatnya YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) berhubung projek 1Bestarinet.

Sementara itu, Maybank naik dua sen kepada RM10.82, Public Bank susut dua sen kepada RM4.74 dan CIMB meningkat empat sen kepada RM8.25.

Bagi saham aktif, Steel Hawk yang baru disenaraikan terus mendahului, melonjak 133 peratus atau 20 sen kepada 35 sen. MYEG menambah satu sen kepada 91.5 sen, Malaysian United Industries susut 1.5 sen kepada 7.0, Cape EMS turun satu sen kepada 34.5 sen dan Genetec Technology menurun sembilan sen kepada 92 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 37.51 mata kepada 12,391.25, Indeks FBM Emas Shariah turun 34.93 mata kepada 12,190.01 dan Indeks FBMT 100 menyusut 28.39 mata kepada 12,100.00.

Indeks FBM 70 jatuh 109.24 mata kepada 17,261.05 manakala Indeks FBM ACE susut 57.33 mata kepada 5,100.60.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 21.83 mata kepada 19,664.98.

Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.03 mata kepada 177.04, Indeks Tenaga turun 13.34 mata kepada 884.38 dan Indeks Perladangan jatuh 5.48 mata kepada 7,246.36.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan