PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Selepas BNM Kekalkan Kadar Pada 3 Peratus

06/09/2024 09:47 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus, mencerminkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.3325/3405 berbanding dolar AS daripada 4.3360/3400 pada Khamis.

BNM mengekalkan kadar faedah berikutan pendirian dasar monetari semasa terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian bank pusat berhubung prospek inflasi dan pertumbuhan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus lemah, merosot kepada 101.070 mata berikutan jangkaan penurunan kadar AS yang ketara meningkat.

“Perubahan Pekerjaan Bukan Ladang ADP mencatatkan angka jauh di bawah jangkaan, merekodkan 99,000 pekerjaan pada Ogos berbanding anggaran konsensus sebanyak 144,000 dan 111,000 pada bulan sebelumnya.

“Ini mengukuhkan hujah untuk penurunan kadar faedah yang lebih besar pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) pada malam ini akan dipantau dengan jangkaan sebanyak 164,000 pekerjaan pada Ogos berbanding 114,000 sebelum ini dan kadar pengangguran dijangka turun kepada 4.2 peratus daripada 4.3 peratus.

“Jika dicapai, ini akan menunjukkan trend pasaran buruh yang positif pada Ogos,” katanya.

Mohd Afzanizam berpendapat ringgit dijangka diniagakan mendatar berikutan peserta pasaran terus berhati-hati menjelang data NFP dikeluarkan.

Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.8138/8227 daripada 4.8099/8144 pada Khamis, susut berbanding pound kepada 5.7081/7186 daripada 5.7049/7101 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.0213/3.0273 daripada 3.0189/0219.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 281.2/281.9 daripada 281.5/281.9 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.72 daripada 7.71/7.72.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3332/3396 daripada 3.3303/3336 dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.8878/9197 daripada 12.8772/8940.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan