BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi

06/09/2024 10:54 AM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat semula pada sesi pembukaan hari ini, pulih daripada jualan besar-besaran pada Khamis berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.36 mata kepada 1,671.18 daripada 1,664.82 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 4.65 mata kepada 1,669.47.

Dalam pasaran yang menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 159 berbanding 114, dengan 206 kaunter tidak berubah, 1,976 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 83.76 juta unit bernilai RM40.60 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka sesi dagangan yang rendah berikutan petunjuk bercampur-campur daripada Wall Street, dengan FBM KLCI dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara 1,660 dan 1,670.

Beliau berkata sentimen berhati-hati disebabkan ketidaktentuan susulan data pekerjaan AS yang lemah, menjelang laporan pekerjaan bulanan yang akan dikeluarkan malam ini.

Laporan pemproses senarai gaji ADP menunjukkan perniagaan swasta di AS menambah 99,000 pekerjaan pada Ogos 2024, terendah sejak Januari 2021 dan di bawah unjuran sebanyak 145,000.

Sementara itu, seorang penganalisis lain berpendapat sektor perbankan dijangka menjadi tumpuan selepas Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada tiga peratus, berdasarkan inflasi yang terkawal dan prospek ekonomi yang stabil.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional menambah 14 sen kepada RM14.96, Maybank naik enam sen kepada RM10.86 dan IHH Healthcare meningkat lapan sen kepada RM6.52. 

YTL Corp dan YTL Power, meningkat semula daripada jualan besar-besaran pada Khamis, masing-masing naik empat sen kepada RM2.74 dan dua sen kepada RM3.71.

Kaunter aktif termasuklah Steel Hawk, yang meningkat 2.5 sen kepada 37 sen serta Hextar Capital dan Elridge Energy, masing-masing menambah satu sen kepada 40.5 sen dan 42 sen.

Borneo Oil kekal tidak berubah pada 1.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 37.14 mata kepada 12,409.81, Indeks FBM Emas Shariah naik 24.59 mata kepada 12,198.78 dan Indeks FBMT 100 meningkat 38.31 mata kepada 12,119.26. 

Indeks FBM 70 naik 25.37 mata kepada 17,297.30 dan Indeks FBM ACE menambah 0.16 mata kepada 5,081.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 90.72 mata kepada 19,738.68, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.11 mata kepada 177.48, Indeks Tenaga meningkat 3.16 mata kepada 891.08 dan Indeks Perladangan menambah 3.40 mata kepada 7,228.49.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan