PASARAN > BERITA

FBM KLCI Dijangka Uji Semula Paras 1,670 Didorong Sentimen Semakin Baik Minggu Depan

07/09/2024 10:49 AM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka menguji semula paras 1,670 minggu depan didorong sentimen yang lebih baik memandangkan data pekerjaan terkini Amerika Syarikat (AS) menunjukkan penurunan dalam pasaran buruh.

Keadaan itu sekali gus meningkatkan harapan untuk pengurangan kadar faedah seperti yang dijangkakan oleh pasaran.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata walaupun laporan pembayaran gaji bukan ladang AS terkini menunjukkan kenaikan yang lebih kecil berbanding jangkaan iaitu sebanyak 142,000 pekerjaan bulan lepas namun, laporan tuntutan pengangguran terkini pula sebaliknya.

Beliau berkata laporan tuntutan pengangguran AS menunjukkan penurunan kepada 227,000 daripada 232,000.

Ini menunjukkan pemberhentian kerja di AS kekal rendah dan penurunan pasaran buruhnya berlaku dalam keadaan terurus, katanya.

“Walaupun data ekonomi AS bercampur-campur, kebimbangan terhadap kemelesetan nampaknya berlebihan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata sentimen pasaran dijangka menjadi lebih baik secara beransur-ansur sepanjang minggu depan.

Penurunan yang dialami pasaran domestik minggu ini menawarkan peluang pembelian yang menarik susulan penilaian yang lebih baik, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kalangan pelabur sewajarnya kekal peka terhadap sensitiviti pasaran yang tinggi terhadap data ekonomi AS.

“Pasaran kini menjangkakan pengurangan kadar faedah sebanyak 50 mata asas bulan ini, berdasarkan data FedWatch oleh CME susulan laporan pembayaran gaji bukan ladang. Sebarang penyimpangan daripada jangkaan ini boleh menimbulkan keadaan turun naik,” katanya.

Beliau berkata dalam konteks ini, tumpuan pelabur dijangka beralih kepada syarikat yang secara asasnya kukuh dengan hasil dividen tinggi selain sektor yang bersifat defensif.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dari segi teknikal, purata pergerakan eksponen (EMA) 20 hari dan 50 hari masing-masing menunjukkan trend menaik, dengan indeks kekal di atasnya.

Beliau berkata itu menunjukkan trend kenaikan kukuh yang berterusan dalam jangka masa pendek dan sederhana, walaupun tempoh EMA 20 hari menunjukkan kemungkinan keadaan tidak banyak berubah.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,650 hingga 1,670 untuk minggu depan dengan paras sokongan serta-merta pada 1,650 diikuti 1,630 manakala rintangan pada 1,670 diikuti oleh 1,700,” katanya.

Bursa Malaysia ditutup rendah sepanjang minggu dagangan ini ekoran pasaran buruh AS yang hambar sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap prospek ekonomi global.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.00 peratus, memberikan sedikit sokongan kepada saham berwajaran tinggi khususnya kaunter kewangan.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 25.68 mata kepada 1,653.12 daripada 1,678.80 minggu lalu.

Di papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas berkurang 208.20 mata kepada 12,276.06, Indeks FBMT 100 menguncup 110.37 mata kepada 12,077.25 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 301.46 mata kepada 11,985.21.

Indeks FBM 70 merosot 349.47 mata kepada 17,094.45 dan Indeks FBM ACE turun 31.64 mata kepada 5,084.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 115.06 mata kepada 19,602.47, Indeks Perladangan turun 69.79 mata kepada 7,243.40, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 6.10 mata kepada 175.30 dan Indeks Tenaga pula menguncup 51.51 mata kepada 875.19.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, jumlah dagangan berkurang kepada 14.90 bilion unit bernilai RM15.33 bilion daripada 17.60 bilion unit bernilai RM20.66 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama sebanyak 8.66 bilion saham bernilai RM14.01 bilion berbanding 10.26 bilion saham bernilai RM19.34 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran pula susut kepada 3.60 bilion unit bernilai RM413.23 juta daripada 4.87 bilion unit bernilai RM580.71 juta minggu.

Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.65 bilion saham bernilai RM906.43 juta daripada 2.44 bilion saham bernilai RM740.85 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan