PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

07/09/2024 11:12 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, dengan kecenderungan kepada permintaan lebih tinggi dan harga meningkat, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata fenomena cuaca semasa mewujudkan ketidaktentuan, membawa kepada keperluan untuk meningkatkan simpanan stok getah.

“Perubahan iklim telah menjejaskan pengeluaran getah di kebanyakan wilayah pengeluar getah di Thailand dan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Low berkata negara-negara besar tertentu meningkatkan simpanan stok getah mereka sebagai persediaan menghadapi kemungkinan konflik di Timur Tengah dan Ukraine.

Katanya beliau menjangka aktiviti menyimpan komoditi akan berterusan selama beberapa minggu sebelum keadaan menjadi lebih baik, menunjukkan situasi geopolitik berkemungkinan bertambah buruk sebelum ia pulih.

Sementara itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjangka pasaran getah diniagakan positif minggu depan, didorong oleh pergerakan pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah.

Katanya harga turut meningkat oleh gangguan bekalan disebabkan keadaan cuaca buruk di negara-negara pengeluar getah.

“Sentimen positif didorong oleh keyakinan terhadap penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), tetapi kenaikan terhad oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Menurut MARGMA, amaran meteorologi hujan lebat dan kemungkinan banjir kilat di Thailand, selain dengan pergerakan pasaran niaga hadapan getah serantau, akan terus memberi impak kepada harga getah pada minggu akan datang.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 12.0 sen kepada 788.0 sen sekilogram daripada 776.0 sen sekilogram pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, susu getah pukal meningkat 12.5 sen kepada 663.0 sen sekilogram daripada 650.5 sen sekilogram sebelum ini.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 798.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 664.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan