PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniaga Dalam Jajaran Terhad Minggu Depan

07/09/2024 11:05 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal suram minggu hadapan disebabkan oleh sentimen lemah minyak kacang soya dan kebimbangan berterusan mengenai peningkatan stok minyak sawit di negara ini, kata peniaga komoditi David Ng.

“Kami menjangkakan harga komoditi ini akan diniagakan antara RM3,750 dan RM3,900 setan minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh mengunjurkan  niaga hadapan MSM akan diniagakan dalam julat RM3,730 hingga RM3,830 setan minggu hadapan.

Ini berikutan permintaan yang kukuh dari pasaran utama seperti China, India dan Kesatuan Eropah (EU).

"Dari segi stok, kami menjangkakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengeluarkan data pada 10 September, iaitu Selasa depan untuk mengetahui kedudukan stok bulan Ogos.

"Disebabkan cuaca yang baik, paras stok mungkin meningkat," katanya menambah permintaan dijangka daripada pasaran biasa iaitu China, India, Pakistan, negara-negara Timur Tengah, EU dan Amerika Syarikat.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta September 2024 jatuh RM95 kepada RM3,980 setan, Oktober 2024 turun RM80 kepada RM3,935 setan dan November 2024 susut sebanyak RM79 kepada RM3,898 setan.

Kontrak Disember 2024 menyusut RM71 kepada RM3,874 setan, Januari 2025 menurun RM63 kepada RM3,861 setan dan Februari 2025 merosot RM52 kepada RM3,858 setan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 305,672 lot daripada 366,765 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 232,403 kontrak daripada 230,900 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk September Selatan turun RM70 kepada RM4,030 setan pada Jumaat, berbanding RM4,100 setan pada akhir minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan