PASARAN > BERITA

Sentimen Lemah Di Peringkat Global Beri Tekanan Kepada Bursa Malaysia Dibuka Rendah

09/09/2024 10:52 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Sentimen lemah dalam pasaran saham global memberi tekanan kepada Bursa Malaysia untuk dibuka rendah pada Isnin dan pasaran dijangka diniagakan dalam berhati-hati sepanjang hari, kata peniaga.

Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 8.57 mata kepada 1,644.55 daripada 1,653.12 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 5.92 mata kepada 1,647.20.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 487 berbanding 90, dengan 256 kaunter tidak berubah, 2,454 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 471.43 juta unit bernilai RM519.71 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah pada Jumaat lepas, dengan Dow Jones Industrial Index merosot 410 mata manakala Nasdaq susut 437 mata dengan hasil 10 tahun Amerika Syarikat (AS) berkurangan kepada 3.716 peratus berikutan data ekonomi bercampur-campur yang dikeluarkan minggu lepas.

“Peniaga dijangka dalam sentimen berhati-hati, menilai impak terhadap pasaran saham. Selain itu, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap YTL Communications Sdn Bhd membabitkan tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4.07 bilion terus menjejaskan sentimen tempatan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd yang mula disenaraikan hari ini dijangka memberi elemen positif kepada bursa tempatan.

“Hari ini, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,650 hingga 1,660,” katanya.

Di peringkat serantau, pasaran saham Asia mencatatkan kemerosotan berikutan pelabur memilih pelaburan yang lebih selamat berbanding aset berisiko dalam kebimbangan mengenai potensi kemelesetan ekonomi AS.

Ini membawa kepada penurunan hasil bon dan harga komoditi.

Kaunter utama dalam saham wajaran tinggi Maybank merosot enam sen kepada RM10.74, Tenaga Nasional berkurangan 10 sen kepada RM14.62, Hong Leong susut 20 sen kepada RM20.90, Petronas Chemicals turun lima sen kepada RM5.53 dan Public Bank merosot dua sen kepada RM4.73.

YTL Power International muncul sebagai kaunter paling rugi dalam saham wajaran tinggi apabila merosot 10 sen kepada RM3.42 manakala YTL Corporation susut tiga sen kepada RM2.46. 

99 Speed Mart yang mula disenaraikan di Pasaran Utama naik 23 sen kepada RM1.88, dengan 185.71 juta saham bertukar tangan.

Velesto dan Barakah Petroleum, masing-masing merosot setengah sen kepada 19 sen dan tujuh sen manakala Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen dan Genetec berkurangan 2.5 sen kepada 88 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 68.39 mata kepada 12,207.67, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 73.80 mata kepada 12,003.45 dan Indeks FBMT 100 susut 66.03 mata kepada 12,919.18. 

Indeks FBM 70 jatuh 100.96 mata kepada 16,985.49 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 48.23 mata kepada 5,036.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 103.64 mata kepada 19,498.83, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.66 mata kepada 173.64, Indeks Tenaga berkurangan 10.81 mata kepada 864.38 dan Indeks Perladangan turun 14.16 mata kepada 7,229.24.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan