PASARAN > BERITA

Tekanan Ketidakpastian Kadar Faedah AS Heret Turun Bursa Malaysia

09/09/2024 07:44 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Saham-saham di Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Isnin dengan lebih rendah, mencerminkan kekurangan minat pelabur susulan perkembangan di Amerika Syarikat (AS) serta ketidaktentuan mengenai jumlah pengurangan kadar faedah di negara maju itu.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.63 mata kepada 1,651.49 berbanding paras 1,653.12 pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka turun 5.92 mata kepada 1,647.20 dan bergerak dalam julat 1,642.31 hingga 1,659.11 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 738 berbanding 333 manakala 439 kaunter tidak berubah, 944 tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan bagaimanapun meningkat kepada 3.38 bilion unit bernilai RM3.85 bilion daripada 2.35 bilion unit bernilai RM3.06 bilion, Jumaat lepas.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks utama di peringkat serantau juga mengakhiri dagangan dengan lebih rendah didorong oleh kelemahan data ekonomi AS yang meningkatkan lagi kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin tidak ketara dari segi menyokong ekonomi terbesar dunia berkenaan.

“Biarpun pengurangan kadar Rizab Persekutuan September itu secara asasnya adalah pasti, tetapi pihak pelabur pula tidak yakin mengenai sejauh mana (jumlah) pengurangan berkenaan.

“Di peringkat tempatan, indeks petunjuk utama berada dalam julat yang lebih terhad kerana pendirian pelabur yang kekal berhati-hati serta teragak-agak untuk mengambil kedudukan jelas berikutan ketidaktentuan ketara dialami ekuiti global," katanya kepada Bernama.

Berikutan itu, Thong menjangkakan FBM KLCI berkemungkinan kekal dalam mod konsolidasi sehingga munculnya pemangkin baharu.

“Walaupun konsolidasi itu bersifat jangka pendek, trend jangka panjang adalah cenderung meningkat berikutan keadaan indeks yang terus bertahan melebihi purata pergerakan eksponen selama 50 hari. 

“Kami menjangkakan indeks itu turun naik dalam julat 1,650-1,670 untuk minggu ini dengan paras rintangan segera pada 1,680 manakala paras sokongan pada 1,645,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata dagangan hari ini didorong oleh aktiviti pemburuan saham-saham berharga rendah yang menyaksikan pelabur berhasrat mengambil kedudukan dalam saham bermodal besar.

“Tindakan menarik diri dari segi pengumpulan ekuiti pada minggu lepas dilihat sebagai pembetulan dalam kenaikan pasaran secara meluas dan bukannya petanda berlakunya kemerosotan.

“Selain itu, hari ini juga merupakan hari dagangan pertama tawaran awam permulaan (IPO) bagi sebuah rangkaian pasar mini (99 Speed Mart) dengan sahamnya melonjak melebihi 10 peratus yang turut memacu peningkatan saham sektor pengguna lain di Bursa Malaysia," katanya.

Mohd Sedek juga mengunjurkan tumpuan pelabur beralih kepada syarikat-syarikat yang kukuh dengan hasil dividen tinggi serta pendedahan yang lebih bertahan.

Bagi saham wajaran tinggi, CIMB muncul sebagai kaunter meraih peningkatan ketara dengan menokok 12 sen kepada RM8.28; Maybank untung 10 sen kepada RM10.90; IHH menambah 12 sen kepada RM6.72 manakala Public Bank dan CelcomDigi masing-masing naik lima sen kepada RM4.80 dan RM3.71.

Saham 99 Speed Mart muncul paling aktif dengan melonjak 23 sen kepada RM1.88 manakala MISC menambah 13 sen kepada RM7.92 namun Gamuda rugi enam sen kepada RM7.41.

Selain itu, Velesto Energy susut 10 sen kepada 18.5 sen; Pegasus Heights dan EA Holdings tidak berubah pada setengah sen; YTL Corporation turun 10 sen kepada RM2.39 dan YTL Power berkurangan 15 sen kepada RM3.37.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 25.77 mata kepada 12,250.29; Indeks FBM Emas Shariah merosot 75.91 mata kepada 12,001.34 dan Indeks FBMT 100 turun 22.66 mata kepada 11,962.55.

Indeks FBM 70 menguncup 73.10 mata kepada 17,021.35 manakala Indeks FBM ACE turun 28.40 mata kepada 5,056.05.

Prestasi mengikut sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 131.38 mata kepada 19,733.86; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.04 mata kepada 173.26; Indeks Tenaga susut 17.32 mata kepada 857.87 manakala Indeks Perladangan menokok 76.60 mata kepada 7,166.80.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.20 bilion unit bernilai RM3.64 bilion daripada 1.60 bilion unit bernilai RM2.88 bilion.

Waran pula melonjak kepada 705.37 juta unit bernilai RM74.41 juta daripada 345.70 juta unit bernilai RM29.40 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 468.17 juta bernilai RM135.1 juta daripada 408.21 juta saham bernilai RM143.08 juta pada Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 640.69 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (300.75 juta); pembinaan (239.81 juta); teknologi (157.31 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (136.10 juta); hartanah (264.05 juta); perladangan (12.14 juta); REIT (11.0 juta); dana tertutup (23,400); tenaga (214.29 juta); penjagaan kesihatan (36.79 juta); telekomunikasi dan media (28.96 juta); pengangkutan dan logistik (31.62 juta); utiliti (135.95 juta) dan amanah perniagaan (354,300).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan