PASARAN > BERITA

Stok Tempatan Meningkat, Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

10/09/2024 09:53 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri dagangan Selasa dengan lebih rendah berikutan peningkatan paras stok simpanan tempatan, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Pada masa sama, sentimen pasaran turut dijejaskan oleh angka eksport yang lebih rendah.

“Susulan itu, paras sokongan dianggarkan pada RM3,800 satu tan manakala rintangan pada RM4,000 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini berkata pengeluaran MSM Malaysia meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada 1.89 juta tan bagi Ogos 2024 daripada 1.84 juta tan pada bulan sebelumnya.

Dalam laporan terkini mengenai prestasi industri sawit, MPOB berkata pengeluaran isirung juga meningkat sebanyak 6.7 peratus bulan ke bulan kepada 455,976 tan pada Ogos daripada 427,342 tan, sebelum ini.

Dari segi inventori, stok MSM meningkat 2.5 peratus kepada 953,145 tan berbanding 930,099 tan pada Julai lepas.

Selain itu, stok simpanan minyak sawit diproses melonjak 12.8 peratus kepada 930,069 tan daripada 824,285 tan pada bulan sebelumnya manakala jumlah stok minyak sawit meningkat 7.3 peratus kepada 1.88 juta tan daripada 1.75 juta tan, kata MPOB.

Eksport minyak sawit pula susut 9.7 peratus kepada 1.53 juta tan pada Ogos daripada 1.69 juta tan pada Julai.

“Eksport minyak isirung sawit susut 20.7 peratus kepada 87,167 tan daripada 109,908 tan pada Julai manakala eksport hampas isirung sawit merosot 20 peratus kepada 173,845 tan pada Ogos berbanding 217,365 tan pada Julai,” kata MPOB.

Selain itu, pada akhir dagangan hari ini, kontrak bulan semasa Oktober meningkat RM11 kepada RM3,945 satu tan namun kontrak September 2024 susut RM4 kepada RM3,981 satu tan.

Kontrak November 2024 turun RM10 kepada RM3,885 satu tan, Disember 2024 berkurangan RM23 kepada RM3,841 satu tan manakala Januari 2025 dan Februari 2025 menguncup RM31 kepada RM3,819 satu tan dan RM3,814 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 77,959 lot daripada 57,096 pada akhir dagangan semalam dan kepentingan terbuka juga naik kepada 237,470 kontrak berbanding 233,734 sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan susut RM10 kepada RM4,020 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan