PASARAN > BERITA

Indeks FBM KLCI Dibuka Melantun, Dijangka Cecah Paras 1,640-1,650

12/09/2024 10:41 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia melantun pada sesi awal dagangan Khamis untuk mengatasi semula kerugian dicatat semalam.

Bagaimanapun, kalangan peniaga menjangkakan indeks itu kekal terikat dalam julat 10 mata iaitu bergerak pada paras 1,640 hingga 1,650 hari ini.

Pada jam 9.05 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 3.35 mata kepada 1,643.15 berbanding paras 1,639.80 pada akhir dagangan semalam.

Sewaktu dibuka, indeks penanda aras itu meningkat 4.24 mata kepada 1,644.04.

Sentimen pasaran meningkat semula pada pagi ini dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 242 berbanding 105 manakala 236 lain tidak berubah, 1,883 tidak diniagakan dan 26 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 104.94 juta unit bernilai RM65.41 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI susut ke paras 1,640 semalam, diasak penurunan di peringkat serantau.

“Bagaimanapun, kami agak terkejut dengan kadar penyusutan itu dan menjangkakan keadaan melantun semula dengan indeks berlegar dalam julat 1,640-1,650 hari ini.

“Sementara itu, harga minyak mentah juga meningkat semula selepas mencatat aliran penurunan selama seminggu dan minyak mentah Brent kini cenderung berada di paras melebihi US$70 setong," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Wall Street mengakhiri dagangan dengan lebih tinggi selepas menyaksikan aliran turun naik berikutan kebimbangan awal selepas angka teras Indeks Harga Pengguna meningkat sedikit berbanding unjuran awam yang melenyapkan harapan melihat pengurangan kadar faedah sehingga 50 mata asas pada minggu depan.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM10.68, Public Bank susut satu sen kepada RM4.69, CIMB meraih tiga sen kepada RM8.30 manakala Tenaga Nasional untung 12 sen kepada RM14.82.

Kaunter aktif pula menyaksikan Globetronics menokok 2.5 sen kepada 59.5 sen, Velesto Enegy dan JCY International masing-masing menambah satu sen pada 19 sen dan 45.5 sen dan Ekovest tidak berubah pada 33 sen.

Kaunter paling untung didahului oleh Malaysian Pacific Industries yang meraih 58 sen kepada RM27.40, United Plantations meningkat 40 sen kepada RM1.48, New Hoong Fatt naik 12 sen kepada RM2.0 dan Malaysia Airports menokok 10 sen kepada RM10.32.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menambah 39.20 mata kepada 12,189.88, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 48.94 mata kepada 11,960.51 dan Indeks FBMT 100 meraih 37.81 mata kepada 11,911.02. 

Indeks FBM 70 merosot 104.96 mata kepada 16,981.39 manakala Indeks FBM ACE naik 23.02 mata kepada 5,016.80.

Dari segi prestasi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat sebanyak 4.77 mata kepada 19,600.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.35 mata kepada 171.16, Indeks Tenaga naik 3.35 mata kepada 838.53 manakala Indeks Perladangan meraih 1.96 mata kepada 7,148.32.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan