PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Sedikit, Indeks Komposit Susut 0.09 Peratus

12/09/2024 07:58 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama -- Bursa Malaysia tidak sehaluan dengan trend serantau yang positif terutamanya ketika ditutup pada Khamis, dengan jatuh sedikit dan melenyapkan kenaikan awal pada jualan lewat di saham-saham terpilih, diterajui oleh saham kewangan.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.49 mata atau 0.09 peratus kepada 1,638.31 daripada 1,639.80 ketika ditutup semalam. FBM KLCI dibuka kukuh dengan kenaikan 4.24 mata kepada 1,644.04 dan bergerak antara 1,637.91 dan 1,649.87 sepanjang hari.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi dalam pasaran yang lebih meluas iaitu 669 berbanding 353, manakala 442 kaunter tidak berubah, 1,002 tidak diniagakan dan 26 digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.61 bilion unit bernilai RM2.94 bilion daripada 2.96 bilion unit bernilai RM3.33 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata sektor kewangan mendahului penurunan di bursa tempatan, didorong oleh kebimbangan terhadap laporan inflasi AS yang terkini.

“Jangkaan pemotongan kadar faedah AS telah memperkenalkan ketidaktentuan baharu bagi saham-saham perbankan Malaysia, terutamanya terhadap potensi margin faedah yang lebih rendah. Ini boleh memberi kesan negatif kepada keuntungan bank, yang membawa kepada pendapatan yang lebih rendah, pengurangan dividen dan kedudukan kewangan yang lebih lemah.

"Bagaimanapun, kami melihat ini sebagai 'satu amaran' jangka pendek kerana penting untuk kita ketahui bahawa bank-bank di Malaysia secara aktif telah mempelbagaikan aliran pendapatan mereka untuk mengurangkan risiko ini," katanya kepada Bernama.

Sentimen pasaran global bertambah baik selepas inflasi di Amerika Syarikat menyederhana kepada 2.5 peratus pada Ogos daripada 2.9 peratus pada Julai, mendorong kenaikan semalaman di Wall Street, didorong oleh saham Nvidia dan saham teknologi lain. Bagaimanapun, kenaikan itu gagal diterjemahkan kepada sentimen positif yang lebih luas, dengan saham-saham yang kukuh mengalami kejatuhan.

"Trend yang sama dapat diperhatikan pada FBM KLCI dengan sektor utiliti, perbankan dan perladangan mengalami kejatuhan ketika ditutup," katanya.

Mohd Sedek berkata trend menurun pada masa ini adalah sementara dengan jangkaan pemotongan kadar AS minggu depan bertindak sebagai pemangkin baharu, terutamanya memanfaatkan indeks modal kecil Malaysia yang melantun semula hari ini selepas mencatat paras terendah enam bulan.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun meningkat 3.41 peratus kepada 36,833.27, Indeks Hang Seng Hong Kong menambah 0.77 peratus kepada 17,240.39, Kospi Korea Selatan melantun 2.34 peratus kepada 2,572.0 dan Strait Times Singapura naik 0.69 peratus kepada 3,555.40.

Di Bursa Malaysia, saham wajaran tinggi iaitu Public Bank susut lima sen kepada RM4.65, IHH Healthcare turun 10 sen kepada RM6.65 dan CIMB jatuh tujuh sen kepada RM8.20. Hong Leong Bank menyusut 30 sen kepada RM21.20.

Globetronics muncul sebagai saham paling aktif, susut dua sen kepada 55 sen, manakala Alpha IVF naik setengah sen kepada 35 sen dan MYEG turun 1.5 sen kepada 89.5 sen. OCR menambah satu sen kepada enam sen dan YTL meningkat tujuh sen kepada RM2.47.

Kaunter untung didahului oleh Malaysian Pacific Industries yang melonjak 54 sen kepada RM27.36 manakala United Plantations melantun 48 sen kepada RM27.50 dan Vitrox meningkat 25 sen kepada RM3.35. Ajinomoto naik 24 sen kepada RM14.94.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 40.97 mata kepada 12,191.65, Indeks FBM Emas Shariah naik 78.0 mata kepada 11,989.57 dan Indeks FBMT 100 meningkat 34.19 mata kepada 11,907.39.

Indeks FBM 70 melonjak 218.12 mata kepada 17,094.55 manakala Indeks FBM ACE meningkat 39.89 mata kepada 5,033.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 84.19 mata kepada 19,511.65, Indeks Tenaga meningkat 12.46 mata kepada 847.64, Indeks Perladangan mengukuh 18.16 mata kepada 7,164.52, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.17 mata kepada 172.98.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.41 bilion unit bernilai RM2.73 bilion daripada 1.74 bilion unit bernilai RM3.11 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran turut jatuh kepada 777.39 juta unit bernilai RM87.39 juta daripada 851.72 juta unit bernilai RM94.41 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan bagi Pasaran ACE mengecil kepada 335.82 juta unit bernilai RM109.13 juta berbanding 372.11 juta unit bernilai RM121.93 juta semalam.

Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 189.8 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (233.5 juta), pembinaan (172.0 juta), teknologi (278.1 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (143.5 juta) dan hartanah (118.2 juta).

Kaunter perladangan (12.8 juta), REIT (15.5 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (79.22 juta), penjagaan kesihatan (30.6 juta), telekomunikasi dan media (21.8 juta), pengangkutan dan logistik (33.9 juta ), utiliti (81.2 juta) dan amanah perniagaan (720,700).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan