PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Mata Wang Utama Kecuali Dolar AS

12/09/2024 08:51 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama namun, rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis kerana peniaga kekal berhati-hati terhadap hala tuju pengurangan kadar faedah AS, kata ahli ekonomi.

Beliau berkata ini susulan data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang terkini adalah lebih tinggi berbanding dengan jangkaan.

IHP teras meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan pada Ogos, mengatasi jangkaan konsensus pada 0.2 peratus.

Ia meningkat secara berterusan daripada 0.1 peratus pada Jun dan 0.2 peratus pada Julai.

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.3330/3370 berbanding dolar AS daripada 4.3270/3325 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit agak stabil berbanding dolar AS hari ini, bergerak sekitar 4.33.

“Kami berpendapat peniaga dan pelabur kekal berhati-hati dengan hala tuju kadar faedah AS, terutama selepas IHP teras AS terkini yang lebih tinggi daripada jangkaan.

“Ini, sehingga tahap tertentu, mengurangkan kemungkinan besar untuk pengurangan kadar faedah secara agresif oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata mesyuarat FOMC minggu depan sangat penting untuk menentukan sejauh mana Rizab Persekutuan bersedia untuk melonggarkan pendirian dasar monetarinya yang ketat.

“Oleh itu, unjuran suku tahun mereka mengenai Kadar Dana Persekutuan dan pemboleh ubah makroekonomi lain seperti inflasi dan kadar pengangguran akan dipantau rapat minggu depan,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.7724/7768 daripada 4.7774/7835 ketika ditutup pada Rabu, dan naik berbanding pound British kepada 5.6550/6602 daripada 5.6623/6695.

Unit domestik lebih stabil berbanding yen Jepun kepada 3.0364/0395 daripada 3.0558/0599.

Ringgit juga lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8351/8527 daripada 12.8523/8752 semalam, dan lebih kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3190/3224 daripada 3.3223/3268.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 280.6/281.0 daripada 280.8/281.4, dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.73 daripada 7.73/7.75.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan