PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Lemah Minggu Depan

14/09/2024 10:14 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangkan pada kecenderungan menurun minggu depan, selepas menyaksikan permintaan yang agak lemah baru-baru ini, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng menjelaskan selain penurunan permintaan dari China dan India,MSM turut terjejas oleh kejatuhan harga minyak kacang soya.

“Oleh itu, harga MSM dijangka bergerak antara RM3,750 dan RM3,920,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies, Jim Teh meramalkan MSM akan didagangkan lebih rendah minggu depan berikutan stok yang agak tinggi, mengukuhkan laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terkini, yang mendedahkan bahawa stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 1.83 juta tan pada Ogos 2024.

“Walaupun wujud permintaan lemah dari China dan India, permintaan fizikal masih datang dari Pakistan, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah serta negara-negara Timur Tengah,”” katanya.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta September 2024 turun RM50 kepada RM3,950 satu tan, Oktober 2024 lebih rendah sebanyak RM26 kepada RM3,909 dan November 2024 susut RM84 kepada RM3,814.

Kontrak Disember 2024 merosot RM116 kepada RM3,775 setan, Januari 2025 jatuh sebanyak RM123 kepada RM3,754 dan Februari 2025 berkurangan RM128 kepada RM3,743.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 422,487 lot berbanding 305,672 yang disaksikan semasa minggu sebelum ini, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 259,519 kontrak daripada 232,403.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan turun RM20 kepada RM4,010 satu tan daripada RM4,030.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada hari Isnin, 16 Sept 2024, sempena hari keputeraan Nabi Muhammad dan cuti umum Hari Malaysia.

Bursa itu berkata operasi, termasuk aktiviti perdagangan dan penyelesaian, akan disambung semula pada hari berikutnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan