PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

26/09/2024 11:41 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis dalam persekitaran sentimen serantau bercampur-campur berikutan impak daripada dasar monetari China baru-baru ini yang berkurangan memindahkan tumpuan pelabur kepada langkah-langkah rangsangan fiskal yang berpotensi, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.24 mata kepada 1,672.14 daripada 1,673.38 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 3.19 mata kepada 1,670.19.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 196 berbanding 149, dengan 291 kaunter kekal tidak berubah, 1,880 tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 133.12 juta unit bernilai RM78.02 juta. 

Peniaga ActivTrades Anderson Alves berkata prospek positif jangka pendek untuk aset China, pasaran baharu dan saham berisiko tinggi boleh menjadi kenyataan jika penggubal dasar China menggabungkan langkah-langkah monetari dan fiskal, menunjukkan sokongan ekonomi yang kukuh.

“Pelabur akan memantau perkembangannya, terutamanya dengan China yang akan cuti minggu depan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Selain itu, katanya kenyataan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell, dengan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE), penting dalam membentuk sentimen pasaran.

“Dengan pasaran dalam keadaan lebih seimbang, ketiadaan pemangkin yang kukuh boleh membawa kepada persekitaran dagangan bercampur-campur dalam kita hampir kepada penghujung bulan dan suku tahun,” katanya.

Dalam negara, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI berjaya ditutup positif pada Rabu walaupun terdapat aktiviti pengambilan untung pada sesi petang.

“Sekali lagi, kami percaya 1,680 kekal sebagai paras halangan yang sukar dan perlu dilepasi sebelum indeks memasuki fasa kedua trend meningkat.

“Hari ini, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,670 hingga 1,680,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Public Bank dan CIMB Group, masing-masing menambah dua sen kepada RM4.65 dan RM8.30. 

Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM15.06 manakala Maybank merosot dua sen kepada RM10.68 dan IHH Healthcare kekal tidak berubah pada RM7.14.

Bagi kaunter aktif, Sarawak Cable meningkat satu sen kepada 11.5 sen, MUI Properties naik 1.5 sen kepada 45.5 sen, Leong Hup International menambah 2.5 sen kepada 72 sen manakala MQ Technology dan Globetronics Technology, masing-masing tidak berubah pada 12.5 sen dan 73.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 9.67 mata kepada 12,474.37, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 20.87 mata kepada 12,345.23, Indeks FBMT 100 berkurangan 10.83 mata kepada 12,173.67, Indeks FBM 70 susut 22.25 mata kepada 17,553.52 manakala Indeks FBM ACE naik 4.64 mata kepada 5,136.32.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga merosot 0.32 mata kepada 870.37, Indeks Perladangan berkurangan 21.18 mata kepada 7,231.76 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.51 mata kepada 177.18 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 29.47 mata kepada 19,673.28.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan