PASARAN > BERITA

Kaunter Tenaga Dorong Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

27/09/2024 02:16 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia merosot pada rehat tengah hari berikutan penurunan mendadak harga minyak mentah kemungkinan telah menjejaskan kaunter tenaga, kata seorang penganalisis. 

Tenaga Nasional turun enam sen kepada RM14.60 dan YTL Power susut 21 sen kepada RM3.62, mendorong indeks komposit turun sebanyak 6.09 mata.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.99 mata atau 0.72 peratus kepada 1,659.33. Indeks penanda aras itu dibuka rendah 2.73 mata pada 1,668.59.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 597 berbanding 349, dengan 438 kaunter tidak berubah, 1,142 tidak diniagakan dan 123 digantung. Jumlah dagangan berjumlah 1.82 bilion saham bernilai RM1.23 bilion.

Dilaporkan harga minyak turun mendadak selepas Arab Saudi menurunkan harga sasaran kepada US$100 setong, sebagai persediaan untuk meningkatkan pengeluaran, bersama anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya pada Disember.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran saham Malaysia cenderung lebih sensitif terhadap pergerakan sektor tenaga.

"Peningkatan berterusan hasil Amerika Syarikat (AS), ditambah dengan kemungkinan penurunan 50 mata asas kadar faedah AS pada November mungkin menjejaskan selera risiko tempatan hari ini.

"Di samping itu, faktor bermusim dijangka mempengaruhi keputusan pelabur dan spekulator. Berikutan penghujung suku yang semakin hampir serta pasaran China akan ditutup sempena Minggu Emas dari 1-7 Okt, pasaran mungkin mengambil pendekatan berhati-hati," katanya kepada Bernama.

Innes berkata walaupun pengambilan untung mungkin menjejaskan peningkatan baru-baru ini, sentimen kenaikan harga keseluruhan kekal kukuh buat masa ini.

Kaunter wajaran tinggi Bursa Maybank susut lapan sen kepada RM10.58, Public Bank turun10 sen kepada RM4.57, CIMB Group merosot empat sen kepada RM8.24 dan IHH Healthcare turun satu sen kepada RM7.09.

Antara kaunter aktif, Lambo Group susut 1.5 sen kepada satu sen, Sapura Energy tidak berubah pada empat sen, JKG Land menokok 1.5 sen kepada 12 sen dan Capital A naik tiga sen kepada 94 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 65.05 mata kepada 12,394.85, Indeks FBMT 100 turun 64.42 mata kepada 12,094.30 dan Indeks FBM 70 susut 7.24 mata kepada 17,491.02.

Indeks FBM ACE merosot 50.35 mata kepada 5,147.49, dan Indeks FBM Emas Shariah turun 17.61 mata kepada 12,311.86.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 19.70 mata kepada 7,165.26 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 182.59 mata kepada 19,493.27. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.57 mata kepada 178.46, dan Indeks Tenaga meningkat setengah mata kepada 856.54.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan