PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Ketika Prestasi Suram Pasaran Serantau

30/09/2024 08:03 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan penyusutan minggu lepas apabila ditutup lebih rendah pada Isnin, sebahagian besarnya mencerminkan trend aliran serantau yang negatif, dengan saham kewangan mendahului penurunan.

CIMB Group meneraju penurunan itu, dengan menyusut 19 sen kepada RM8.05 dan berkurangan 3.45 mata daripada indeks petunjuk pasaran.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) rendah 11.18 mata atau 0.67 peratus kepada 1,648.91 daripada 1,660.09 semasa ditutup pada Jumaat. 

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka 1.80 mata lebih tinggi kepada 1,661.89, bergerak antara 1,647.28 dan 1,661.89 sepanjang hari.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 652 berbanding 488 manakala 492 kaunter tidak berubah, 850 tidak diniagakan dan 79 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.06 bilion unit bernilai RM3.22 bilion daripada 3.02 bilion unit bernilai RM2.68 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks serantau bercampur-campur, yang menyaksikan saham China dan Hong Kong mencatat prestasi berbeza apabila mencatat peningkatan kukuh.

Saham Jepun susut hampir lima peratus memandangkan pelabur menunggu arahan daripada Perdana Menteri baharu, Shigeru Ishiba, yang dikenali dengan pendirian kritikalnya mengenai kelonggaran dasar monetari Bank of Japan.

“Di dalam negara, FBM KLCI tidak mengekalkan paras sokongan 1,660 berikutan jualan berterusan oleh dana asing. Pasaran ekuiti baharu kini mengalami tekanan jualan yang ketara apabila dana global memindahkan modal ke Hong Kong dan China,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berikutan lonjakan baru-baru ini di kedua-dua pasaran, dipacu langkah fiskal dan monetari yang positif dari Beijing, beliau berkata pelabur merebut peluang untuk meraih keuntungan daripada prestasi pasaran pesat membangun sebelum ini.

“Kami yakin penilaian ekuiti Malaysia kekal mempunyai tarikan, dan kami tidak menolak kemungkinan aktiviti membeli saham pada harga rendah dalam masa terdekat. Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan berada dalam julat 1,650-1,670 minggu ini, dengan sokongan segera pada 1,640 dan rintangan pada 1,680,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, Maybank susut 2.0 sen kepada RM10.48, Public Bank rendah 3.0 sen kepada RM4.56 dan Tenaga Nasional turun 22 sen kepada RM14.44. IHH Healthcare berkurangan 4.0 sen kepada RM7.16 dan Hong Leong Bank susut 28 sen kepada RM21.56.

Bagi saham aktif, Focus Dynamics dan Capital A masing-masing menokok setengah sen kepada 2.5 sen dan 99 sen manakala EA Holdings dan Pegasus kedua-duanya tidak berubah pada setengah sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 64.69 mata kepada 12,321.91, Indeks FBM Emas Syariah susut 67.92 mata kepada 12,245.12 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 66.46 mata kepada 12,021.71. Indeks FBM 70 susut 39.95 mata kepada 17,398.53 manakala Indeks FBM ACE naik 19.23 mata kepada 5,177.28.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 13.93 mata kepada 7,179.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.38 mata kepada 176.96 dan Indeks Tenaga rendah 10.40 mata kepada 846.35. Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 177.15 mata kepada 19,289.18.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.83 bilion unit bernilai RM2.88 bilion daripada 1.51 bilion unit bernilai RM2.43 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.59 bilion unit bernilai RM218.04 juta daripada 982.76 juta unit bernilai RM144.74 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 635.08 juta unit bernilai RM118.62 juta daripada 520.49 juta unit bernilai RM103.48 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 485.84 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (305.60 juta), pembinaan (122.40 juta), teknologi (179.56 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (129.14 juta), hartanah (247.66 juta), perladangan (31.31 juta), REIT (14.76 juta), dana tertutup (218,900), tenaga (126.56 juta), penjagaan kesihatan (62.70 juta), telekomunikasi dan media (54.11 juta), pengangkutan dan logistik (19.93 juta), utiliti (48.16 juta), dan amanah perniagaan (283,300 juta).

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan