PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS, Dipengaruhi Ketegangan Geopolitik

02/10/2024 09:10 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, berikutan sentimen enggan ambil risiko dalam kalangan pelabur, dipengaruhi peningkatan ketegangan geopolitik global, kata penganalisis.

Pada pukul 8 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.1595/1680 berbanding dolar AS daripada 4.1530/1610 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.42 peratus kepada 101.194 mata apabila peniaga dan pelabur mencari mata wang selamat ekoran ketidaktentuan yang semakin meningkat.

“Oleh itu, kami menjangkakan ringgit mengalami penurunan memandangkan permintaan terhadap mata wang selamat dan dolar AS dijangka lebih tinggi.

“Paras sokongan dan rintangan semasa masing-masing pada RM4.0728 dan RM4.2128,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata memandangkan sentimen lemah, dolar AS berbanding ringgit mungkin bergerak ke arah paras rintangan serta-merta dalam tempoh terdekat.

Ringgit didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.8932/8993 daripada 2.8892/8950 ketika ditutup pada Selasa.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6025/6119 daripada 4.6078/6166, dan naik berbanding pound British kepada 5.5217/5330 daripada 5.5335/5441 semalam.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik sedikit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2284/2353 daripada 3.2269/2334 pada Selasa, dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.7749/8104 daripada 12.7412/7716.

Ringgit rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 273.5/274.2 daripada 273.1/273.7 semalam dan lemah berbanding peso Filipina kepada 7.40/7.42 daripada 7.39/7.41.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan