PASARAN > BERITA

Ringgit Susut Diasak Risiko Geopolitik, Namun Kekal Mata Wang Prestasi Terbaik Global

02/10/2024 08:32 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Rabu dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), diasak risiko geopolitik yang meruncing dan mencetuskan minat belian aset selamat seperti mata wang negara maju berkenaan.

Bagaimanapun, ringgit muncul sebagai mata wang dengan prestasi terbaik global berbanding dolar AS bagi tempoh tiga bulan pada 2 Julai-2 Okt, 2024.

Kalangan penganalisis berkata pengukuhan prestasi ringgit baru-baru ini disebabkan oleh pelaksanaan usaha pembaharuan ekonomi di Malaysia serta kestabilan politik yang mendorong semakan positif oleh agensi penarafan kredit dan bank-bank pelaburan global, sekali gus menyumbang kepada peningkatan aliran masuk dana asing.

 Pada 6 petang ini, ringgit susut ke paras 4.1730/1790 berbanding dolar AS daripada paras 4.1530/1610 yang dicatat semalam.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit muncul mata wang dengan prestasi terbaik pada suku ketiga susulan jangkaan AS menurunkan kadar faedahnya yang terbukti berlaku benar pada September.

Perkembangan itu menjadikan prospek pulangan pelaburan dalam aset ringgit dilihat sebagai lebih baik dalam persekitaran jangkaan jurang Malaysia dengan kadar faedah AS terus mengecil.

Mengulas keadaan hari ini, Mohd Afzanizam berkata pendirian mengelak risiko dalam pasaran kewangan global tidak hanya berlaku di Malaysia apabila peniaga dan pelabur berhati-hati selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke Israel sebagai tindak balas terhadap serangan rejim Israel di Lubnan.

“Akibatnya, mata wang selamat seperti dolar AS menjadi tumpuan pembelian. Keadaan itu akan mempengaruhi sentimen pasaran dalam masa terdekat dan ringgit diunjur terus susut berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pelabur akan turut mengikuti rapat data ekonomi AS selepas ini, terutama pengumuman Indeks Pengurus Pembelian perkhidmatan ISM pada Khamis dan seterusnya data penggajian bukan perladangan pada haari berikutnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama, termasuk susut berbanding yen Jepun kepada 2.8931/8975 daripada 2.8892/8950, semalam.

Berbanding euro, ringgit turun ke paras 4.6208/6274 daripada 4.6078/6166 dan susut berbanding pound Britain pada 5.5472/5551 daripada 5.5335/5441, semalam.

Prestasi ringgit juga rendah berbanding mata wang ASEAN, kecuali baht Thailand yang menyaksikannya mengukuh ke paras 12.7350/7587 daripada 12.7412/7716.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura pada 3.2386/2436 daripada 3.2269/2334 semalam, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 273.2/273.8 daripada 273.1/273.7 dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.43/7.44 daripada 7.39/7.41.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan