PASARAN > BERITA

Ringgit Dbuka Tinggi Berbanding Dolar AS

04/10/2024 09:29 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika pada Jumaat mendapat sokongan menjelang pengumuman data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini.

Pada 8 pagi, unit tempatan berada pada 4.2160/2240 berbanding dolar AS daripada paras penutup  4.2185/2250 pada Khamis.

Pengarah urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata laporan NFP pada Jumaat akan mengubah tinjauan terhadap ringgit, daripada sentimen negatif kepada positif. 

Beliau berkata ura-ura pasaran membayangkan angka NFP yang rendah dijangka dapat memberi sokongan yang amat diperlukan untuk meningkatkan ringgit. 

“Bagaimanapun, laporan yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh mendorong hasil AS lebih tinggi, mencetuskan semula kebimbangan inflasi dan menyebabkan ringgit boleh terus menurun,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS meningkat kepada 101.980 mata apabila ketegangan di Timur Tengah semakin meruncing.

Serangan terbaharu Israel ke atas Beirut telah menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak kepada US$77.62 setong yang seterusnya mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku gangguan terhadap bekalan minyak global. 

Beliau berkata konflik tersebut telah menyebabkan peniaga beralih kepada mata wang selamat iaitu dolar AS.

“Selain itu, data ekonomi AS yang positif yang membayangkan kemungkinan pelonggaran dasar monetari Rizab Persekutuan secara beransur-ansur telah mengukuhkan lagi nilai dolar.

“Dengan ringgit telahpun berada dalam zon terlebih beli, unit tempatan dijangka terus melemah. Dolar AS/Ringgit menembusi paras rintangannya pada RM4.2128, dengan rintangan baharu kini pada RM4.3259,” kata Mohd Afzanizam.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6524/6612 daripada 4.6555/6627 pada Khamis, naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.8710/8766 daripada 2.8711/8757 tetapi turun berbanding pound Britain kepada 5.5348/5453 daripada 5.5330/5415.

Sementara itu, unit tempatan mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2511/2575 daripada 3.2523/2575 dan meningkat berbanding baht Thai kepad 12.7233/7582 daripada 12.7270/7520.

Bagaimanapun unit tempatan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 273.2/273.8 daripada 273.4/273.9 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.48/7.50.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan