PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar US

07/10/2024 07:31 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar US pada Isnin, mencerminkan trend mata wang Asia lain, selepas data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) lebih kukuh daripada jangkaan untuk September.

Ia memberi petunjuk bahawa ekonomi AS mahu mengelak kemelesetan, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2810/2880 berbanding dolar US 4.2155/2240 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi ringgit telah melebihi jangkaan, mencapai keuntungan tahun setakat ini sebanyak 7.22 peratus untuk menjadi mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di Asia.

Bagaimanapun, beliau berkata dari perspektif teknikal, kenaikan mendadak itu menyebabkan ringgit dalam keadaan terlebih beli.

"Peniaga dijangka akan mengeluarkan sebahagian daripada keuntungan mereka dan keputusan NFP memberikan peluang yang tepat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata cabaran yang akan datang ialah pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada 10 Oktober depan, konsensus mengunjurkan inflasi menurun kepada 2.3 peratus pada September berbanding 2.5 peratus pada Ogos manakala IHP teras dijangka kekal stabil pada 3.2 peratus.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan jatuh berbanding euro kepada 4.6920/6996 daripada 4.6484/6578 minggu lepas, merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8857/8909 daripada 2.8779/8839 ketika ditutup pada Jumaat dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.5953/6044 daripada 5.5505/5617 sebelumnya.

Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia menguncup berbanding dolar Singapura kepada 3.2832/2888 daripada 3.2489/2557 sebelum itu dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 272.8/273.4 daripada 272.1/272.9.

Ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 12.7948/8218 daripada 12.7549/7861 Jumaat lepas dan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.54/7.55 daripada 7.49/7.51 sebelumnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan