PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Ketika Ketegangan Di Timur Tengah

07/10/2024 09:40 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin, didorong kekukuhan dalam pasaran minyak mentah dalam keadaan ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata kebimbangan kepada kemungkinan berlakunya gangguan terhadap bekalan minyak Iran mendorong harga minyak mentah yang lebih tinggi, seterusnya menyokong harga MSM memandangkan komoditi itu digunakan sebagai bahan mentah bahan api bio.

“Ketegangan yang berterusan di Timur Tengah tidak mungkin memberi kesan jangka panjang ke atas harga MSM kerana pasaran didorong terutamanya oleh faktor jangka pendek.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,280 dan rintangan pada RM4,400,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa, berkata niaga hadapan MSM memulakan minggu ini dalam dagangan suram menjelang pengumuman data Lembaga Minyak Sawit Malaysia pada Rabu.

Beliau berkata sentimen dagangan semakin baik pada sesi kedua apabila momentum belian meningkat.

“Jangkaan stok akhir September yang lebih tinggi, pengeluaran meningkat daripada Oktober dan seterusnya, dan tempoh pengambilan untung menimbulkan tekanan jualan pada sepanjang hari.

"Selepas pasaran ditutup, Persatuan Minyak Sawit Malaysia melaporkan pengeluaran September susut tiga peratus daripada Ogos," katanya.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Oktober 2024 kekal tidak berubah pada RM4,400 satu tan manakala November 2024 meningkat RM34 kepada RM4,389, Disember 2024 menokok RM43 kepada RM4,343, Januari 2025 naik RM51 kepada RM4,294, Februari 2025 menambah RM53 kepada RM4,238, dan Mac 2025 naik RM50 kepada RM4,178.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 60,148 lot daripada 99,167 pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka susut kepada 249,585 kontrak daripada 251,725 ​​sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan meningkat RM10 kepada RM4,430 satu tan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan